KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menafikan sebaran poster yang terpampang imej Datuk Seri Najib Razak berserta ucapan “Selamat Datang ke Penjara Sungai Buloh’.
Terdahulu, poster memaparkan bekas perdana menteri yang memakai baju Melayu berwarna biru berserta logo jabatan itu tular di laman media sosial.
Menerusi ciapan ringkas di Twitter, jabatan berkenaan menafikan mengeluarkan poster itu.
“Penyebaran berita palsu,” katanya hari ini.
Awal hari ini, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette