KUALA LUMPUR – Pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah berdasarkan merit.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan Izzana yang juga anak kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dibuat oleh Kementerian Kewangan dan kementeriannya mengalu-alukan pelantikan itu.
“Pertama dari segi kelayakan jelas, beliau layak dan malah lebih layak.
“Saya nak jelaskan jawatan yang dilantik oleh Menteri Kewangan ini adalah jawatan bukan eksekutif, bermakna bukan duduk sepanjang masa di situ,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dan Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) atas pelantikan anak Shahrizat itu.
Dalam pada itu, Annuar berkata, Izzana juga masih muda dan berpendidikan tinggi serta mempunyai kelayakan dari Universiti Harvard dan Imperial College Business School.
Ujarnya, Izzana mempunyai rekod pencapaian dan memiliki pengalamannya sendiri.
“Saya merasakan kita perlu adil. Jika kami sebagai ibu bapa menghadapi masalah, kami tidak mahu anak kami diganggu, dia ada kelebihannya,” tambahnya.
Kasthuri kemudiannya mencelah dengan menyatakan bahawa Izzana turut memegang jawatan dalam TalentCorp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan beliau mungkin tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya di MDEC.
Beliau turut menggesa Annuar supaya mencadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk melantik orang lain.
Bagaimanapun, Annuar berkata, Izzana hanya memainkan peranan bukan eksekutif dan beliau tidak terlibat dalam operasi harian.
“Sebab itu ada yang memegang beberapa jawatan pengarah dan ia tidak menjadi masalah,” katanyanya.
Pelantikan Izzana sebelum ini turut dibantah peguam dan aktivis, dengan menyatakan kemungkinan berlaku pelanggaran etika.
Perkara itu timbul ekoran Izzana merupakan defendan dalam tuntutan mahkamah yang dilancarkan kerajaan terhadap keluarganya untuk menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Kes itu masih dalam perbicaraan dan dijangka disambung semula di mahkamah pada Januari tahun depan. – MalaysiaGazette