Home Nasional Tangguh dulu PRU-15, fokus pemulihan negara – NGO

Tangguh dulu PRU-15, fokus pemulihan negara – NGO

Khairul Nizam Mohd. Sopery

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd. Sopery berkata, ia bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Pelaksanaan PRU dalam masa terdekat boleh merencatkan lagi perancangan yang telah dibuat kerajaan sebelum ini dan orang awam kini dilihat sudah muak dengan isu politik malah mereka lebih memikirkan tentang pembangunan ekonomi negara dan diri sendiri.

“Sekiranya PRU berlaku juga dikhuatiri ramai orang tidak akan keluar mengundi kerana mereka tidak lagi ambil peduli mengenai hal-hal berkaitan politik ditambah dengan kebimbangan terhadap penularan varian Covid-19 yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Nizam berkata, perjanjian gencatan politik sudah termeterai dan sehubungan itu kesemua ahli politik seharusnya fokus proses pemulihan negara.

“Situasi itu sekaligus dapat memberi peluang kepada ahli politik untuk membuktikan janji mereka kepada rakyat yang sebelum ini bukanlah sekadar retorik.

“Kurangnya kepercayaan rakyat kepada pemimpin merupakan satu petanda yang tidak baik dalam sesebuah negara,”ujarnya.

Selain itu, Khairul Nizam menambah pelaksanaan PRU yang dijalankan dalam tempoh pandemik pastinya melibatkan pertambahan kos bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Sehubungan itu, adalah lebih baik dikala rakyat terkesan dengan masalah ekonomi dan psikologi, peruntukan lebihan untuk PRU wajar digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette