BARU-BARU ini, isu melibatkan pelajar perempuan yang didatangi haid terpaksa menjalani pemeriksaan sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya di sekolah hangat diperkatakan dalam media sosial.
Pelbagai reaksi masyarakat dapat dilihat, antaranya terdapat segelintir netizen yang tidak setuju dengan pemeriksaan tersebut.
Namun, ada pula masyarakat yang bersetuju untuk melakukan pemeriksaan haid atas dasar pendidikan dan moraliti.
Hakikatnya, bahagian sensitif pada anggota badan tidak boleh sewenang-wenangnya disentuh, apatah lagi untuk diperiksa kecuali atas urusan darurat seperti siasatan kes dan sebagainya.
Apabila pemeriksaan tersebut dilakukan, sentuhan pada bahagian-bahagian sulit boleh dianggap sebagai suatu gangguan seksual, sama ada dalam keadaan sedar atau pun tidak.
Justeru, tindakan pendidik yang berbuat demikian akan membawa kepada pencerobohan hak privasi dan harga diri pelajar perempuan.
Berkenaan dengan pandangan masyarakat yang membenarkan pemeriksaan haid ini, mereka merasakan ianya merupakan salah satu proses pendidikan di sekolah.
Mungkin terdapat kekurangan fakta atau pengetahuan pada masa lalu sehinggakan masyarakat beranggapan menyentuh bahagian sulit pada anggota badan adalah dibenarkan.
Walaubagaimanapun, setelah peredaran zaman, perbuatan tersebut adalah tidak lagi relevan kerana hak dan martabat seorang perempuan mesti dilindungi.
Perkara yang dilakukan atau suatu kebiasaan pada masa lalu tidak semestinya betul dan boleh diguna pakai pada masa kini.
Penerimaan masyarakat dahulu kala mungkin berbeza dengan masyarakat sekarang kerana lama kelamaan manusia semakin sedar akan perlindungan hak ke atas diri sendiri.
Perkara ini juga dikaitkan dengan moral dan ajaran agama, sedangkan memegang tangan orang yang bukan mahram dianggap salah apatah lagi menyentuh bahagian sulit seseorang.
Kewajaran pemeriksaan haid ini perlu dikaji dari sudut undang-undang dan moraliti.
Persoalannya, adakah pemeriksaan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang moral sekiranya ia memberikan kesan yang negatif dan mendalam terhadap harga diri dan keyakinan pelajar?
Tepuk dada, tanya selera.
Persoalan ini haruslah ditimbang tara semula. Dengan adanya
kesedaran dan perkembangan undang-undang, pelajar sekolah berhak menggunakan undang-undang bagi mempertahankan diri mereka dari segala unsur yang dirasakan menggugat hak mereka.
Apabila masyarakat menganggap pemeriksaan haid adalah sesuatu yang bertentangan dengan moral, undang-undang perlu tegas dalam penguatkuasaan larangan untuk membuat pemeriksaan haid dalam kalangan pelajar sekolah.
Berdasarkan ahli-ahli falsafah Barat, Hart dan Devlin, suatu undang-undang yang diwujudkan wajar mengikut nilai moraliti yang menjadi kebiasaan dan boleh diterima masyarakat.
Mereka juga menekankan hak dan nasib seluruh masyarakat adalah penting dalam melakukan sesuatu tindakan atau pun keputusan.
Jadi, dalam isu pemeriksaan haid ini, sekiranya masyarakat kini menganggap bahawa perkara tersebut sudah lagi tidak relevan dan sudah terdapatnya undang-undang yang melindungi hak masyarakat, maka undang-undang tersebut perlu dipatuhi.
Kita perlu mengambil kira keselesaan dan kerelaan pelajar tersebut sebelum membenarkan pemeriksaan haid.
Justeru, terdapat beberapa inisiatif lain yang lebih sesuai untuk dilakukan bagi mencapai objektif pemeriksaan haid, sekaligus dapat mengelakkan fitnah yang kemungkinan akan timbul.
Untuk memastikan pelajar datang haid atau tidak, cara sebenar yang paling mudah adalah dengan bertanya kepada pelajar tersebut sendiri.
Didikan agama yang betul pasti dapat melahirkan pelajar yang jujur dan berintegriti di mana pelajar tersebut sendiri akan mengaku dan menjawab dengan jujur.
Alternatif lain yang boleh dilakukan adalah dengan menyediakan buku kehadiran solat kepada para pelajar.
Dengan ini, isu ini pasti dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan harmoni serta unsur moral dapat dipelihara dalam masyarakat Malaysia.- MalaysiaGazette
Anis Qistina Binti Abdul Malek
Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan bin Ismail
Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia