KUALA LUMPUR – Tiada siapa pernah menduga, Covid-19 yang melanda seluruh dunia juga meninggalkan kesan amat pedih buat rakyat Malaysia.
Ramai yang terkesan. Ada yang hilang pekerjaan, syarikat tutup, gaji tidak dibayar dan pelbagai lagi ujian yang dihadapi seluruh rakyat di negara ini.
Perkara sama turut dirasai Rozana Hassim, 44, yang merupakan pengusaha van sekolah.
Mengakui terduduk saat dikhabarkan sekolah terpaksa ditutup kerana itulah punca pendapatan dia dan suaminya sejak beberapa tahun sebelum ini.
Punca pendapatan utamanya tidak dapat diteruskan. Bukan hanya perbelanjaan harian, malah pembiayaan di bank juga tidak mampu dilangksaikan dek kerana virus jahat ini.
“Saya dan suami memang dah lama mengusahakan van sekolah, dan kami tak tahu nak buat apa masa mula-mula sekolah tutup.
“Nak berniaga pun, modal tak ada, lagi-lagi saya ada seorang anak istimewa yang memerlukan penjagaan sepanjang masa,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Melihat wanita cekal ini, tiada istilah putus asa dalam dirinya.
Bersama suaminya, Nordin Mohd Tahir, 57, dia mencari alternatif.
Anak jati Terengganu ini cuba menjual keropok lekor dan keropok keping yang dibawa dari kampungnya.
“Alhamdulillah, permintaan ada, jadi saya cuba. Kemudian, suami saya minta saya cuba masak menu Pantai Timur untuk tujuan katering.
“Sedikit demi sedikit, kami rasa dunia yang sempit itu sebenarnya sangat luas, Cuma perlu berani, rajin dan tidak cepat mengalah,” ceritanya.
Baginya, biar bagaimana perit sekali pun mencari nafkah buat keluarga, asalkan kebajikan tiga anak termasuk seorang anak saudara yang dijaganya sejak kecil tidak mahu diabaikan.
“Saya selalu berdoa supaya diberikan kudrat kepada saya untuk terus menjaga Amanah AllahSWT ini.
“Anak saudara yang saya jaga ini, namanya Hang Tuah Putera adalah yatim, anak kepada arwah adik kembar saya yang meninggal dunia lima tahun lepas kerana kanser,” ceritanya.
Menerima bantuan kerajaan sebanyak RM500 selama tiga bulan untuk anak sulungnya yang cacat fizikal menerusi bantuan Pemulih benar-benar membantunya.
“Alhamdulillah, dalam saya dan suami berniaga secara kecil-kecilan, kerajaan tidak lupa pada kami. Bantuan Pemulih OKU ini sangat-sangat melegakan kami.
“Itulah yang saya gunakan untuk meneruskan kehidupan dan digunakan juga untuk abang,” ceritanya yang membahasakan anak sulungnya sebagai abang.
Mohammad Faris Aiman Bin Kamazi yang berusia 19 tahun, cacat anggota fizikal selepas menjadi mangsa langgar lari dalam satu kemalangan jalan raya sekitar lima tahun lalu di kawasan perumahannya.
“Hati ibu mana tak sedih waktu itu. Masa tu keadaan anak sangat kritikal. Bahagian otak dan saraf anak saya dalam keadaan sangat bahaya.
“Doktor minta saya berdoa saja, tiada lagi upaya pihak hospital untuk anak saya masa itu.
“Tetapi, mungkin atas kuasa doa dan usaha para doktor juga, anak saya ada perubahan.
“Selepas pembedahan di kepalanya dan fisioterapi yang dijalankan, daripada doktor kata ‘tak ada harapan’, Alhamdulillah, semakin baik walaupun ia tidak lagi seperti dulu,” ceritanya.
Terkini, menerusi program e-Kasih, Rozana turut menerima sumbangan peralatan masakan untuk meneruskan katering.
“Saya bersyukur kerana sumbangan ini. Ada dapur, peti sejuk beku, periuk, penimbang dan dapur sangat-sangat memudahkan kami.
“Keprihatinan kerajaan membantu golongan seperti kami sangat-sangat baik. Saya tak tahu macam mana nak cakap rasa terima kasih dan syukur, cuma akan lakukan yang terbaik untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.
Kerajaan Malaysia menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menyalurkan beberapa bantuan yang ada antaranya diteruskan daripada Bajet Khas Covid-19.
Dengan tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, Bajet 2022 terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan.
Selain itu, program PENJANAKERJAYA membolehkan ramai OKU mendapat pekerjaan berkualiti mengikut kelulusan serta dapat memastikan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada orang lain.
Siri-siri bantuan kepada golongan B40 juga diteruskan agar memberi manfaat dan mengurangkan masalah pengangguran di negara ini. -MalaysiaGazette