Home Politik Dituduh menghina mahkamah, mereka ni belajar dari mana? – Isham

Dituduh menghina mahkamah, mereka ni belajar dari mana? – Isham

Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pihak yang melemparkan tuduhan dengan menyatakan orang ramai tidak boleh mengulas keputusan mahkamah rayuan ke atas Datuk Seri Najib Razak kerana menghina mahkamah adalah tidak berasas.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, beliau tidak pasti daripada mana mereka ini belajar undang-undang kerana pada hematnya kenyataan mereka ini tidak betul.

“Mengikut undang-undang, tindakan menghina mahkamah adalah apabila seseorang membuat sesuatu untuk mempengaruhi keputusan mahkamah secara tidak adil.

“Antara tindakan-tindakan yang boleh dianggap menghina mahkamah’ (iaitu semasa perbicaraan berlangsung dan sebelum keputusan dibuat) itu adalah jika seseorang menyatakan tertuduh itu bersalah atau tidak bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkara lain yang dikatakan mempengaruhi adalah seperti menyatakan sabitan kesalahan tertuduh yang terdahulu dan menamakan seseorang atau saksi yang hakim mengarahkan tidak dinamakan.

“Menamakan saksi, mangsa, atau pelaku yang berumur bawah 18 tahun, menamakan mangsa jenayah seksual atau menyatakan kepada umum fakta kes yang hakim telah mengarahkan tidak disiarkan kepada umum.

“Jika keputusan telah dibuat, elemen ‘mempengaruhi keputusan mahkamah’ itu tidak lagi wujud.

“Oleh itu tindakan kesalahan menghina mahkamah tidak lagi relevan kerana ia tidak lagi mempengaruhi keputusan dan perbicaraan telahpun tamat,” katanya yang membidas cybertropper Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Jelasnya lagi, jika seseorang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah atau keputusan hakim, itu bukanlah menghina mahkamah sebaliknya itulah sebab untuk membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.

“Jika semua pihak setuju dengan keputusan mahkamah, tidak perlulah buat rayuan.

“Rayuan dibuat kerana ada pihak tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dan berpandangan bahawa hakim telah terkhilaf.

“Menyatakan asas-asas ketidaksetujuan dan fakta-fakta kekhilafan ini bukanlah menghina mahkamah,” ujarnya.

Isham menambah, pihak yang kalah boleh komen dan menyatakan asas-asas rayuan dan ketidaksetujuan mereka ke atas penghakiman untuk membentangkannya di mahkamah yang lebih tinggi, ini adalah proses-proses biasa undang-undang.

“Kita perlu berani untuk menegakkan kebenaran.

“Saya akan terus komen dan ulas berkenaan kes Najib supaya keadilan ditegakkan dan penganiayaan dielakkan,” katanya.

Kelmarin, mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd selepas menolak rayuan Najib.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit. – MalaysiaGazette