Home Nasional Kementerian Kewangan sentiasa bekerjasama dengan KKMM, kata Tengku Zafrul

Kementerian Kewangan sentiasa bekerjasama dengan KKMM, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz tampil menjelaskan berhubung pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN).⠀

Penjelasan itu dibuat selepas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin semasa sesi Dewan Rakyat semalam didakwa dilaporkan tidak tepat oleh beberapa media.

Menteri Kewangan itu berkata, selama ini, Kementerian Kewangan (MOF) bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi kawal selianya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di dalam segala usaha untuk menambah baik kesalinghubungan digital di Malaysia.

”Saya sentiasa berbincang dengan Menteri KKMM, dahulu dan sekarang, dan saya akan terus bekerjasama rapat dengan Menteri KKMM untuk kesejahteraan ekonomi digital negara kita” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, berdasarkan usaha-usaha libat urus dan perbincangan yang diadakan di Kabinet dan antara MOF dan KKMM selama ini, beliau menjelaskan bahawa:⠀

a. Cadangan menggunakan model SWN bagi rangkaian 5G, serta penglibatan KKMM bermula semenjak tahun 2019 untuk menyegerakan pelancaran 5G di Malaysia yang dianggap ketinggalan berbanding Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina. Mereka semua telah berjaya melancarkan rangkaian 5G mereka seawal 2019.⠀

b. Dari segi reka bentuk dan pembinaan rangkaian 5G yang dilaksanakan oleh Ericsson, salah satu usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G adalah dengan menggabungkan penyewaan menara dan pajakan gentian. Justeru, persoalan mengenai kapasiti DNB untuk penyediaan digital backbone tidak langsung timbul kerana pembangunan rangkaian 5G ini juga akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada.⠀

c. Dari segi kos pajakan spektrum 5G, dakwaan bahawa “DNB akan jual pula pada telco jadi dua kali ganda peningkatan” juga tidak berasas. Saya telah pun menjelaskan kepada Parlimen pada 25 November 2021 bahawa DNB akan mengenakan caj kurang dari 20 sen bagi setiap gigabit (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi. Sebagai perbandingan, ini adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar 45 – 55 sen bagi setiap GB.⠀

d. Tambahan lagi, melalui model SWN, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4.0 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang (jauh lebih rendah berbanding anggaran RM7.5 bilion untuk menaik taraf satu rangkaian 4G utama kepada 5G di Malaysia). Ini bermakna mereka akan mendapatkan penjimatan lebih dari 50%, dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna. Pada masa yang sama, mereka juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing.⠀

e. Kos pelaksanaan rangkaian 5G ini akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan perdagangan dan modal kerja, serta program Sukuk yang akan diterbitkan dalam pasaran modal negara. Ia juga tidak akan melibatkan apa-apa jaminan atau pembiayaan daripada Kerajaan, terutamanya secara tidak langsung, atau off-balance sheet, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. DNB akan mendapatkan pembiayaan tersebut melalui perkhidmatan kewangan seperti bank-bank, dan ini akan dibayar semula melalui hasil jualan yang dijana daripada penjualan kapasiti secara borong.⠀

f. Ramai pihak yang telah menyatakan kegagalan model SWN di negara-negara lain. Namun, ingin saya tekankan bahawa DNB telah ditubuhkan dengan teliti, dan dianggotai oleh pakar yang paling berpengalaman dalam industri telekomunikasi. Kebolehan kerajaan melalui DNB perlu diberi peluang, kerana suatu hari nanti, kita akan dapat membuktikan bahawa andaian mereka adalah kurang tepat, dan Malaysia boleh berjaya dalam melaksanakan model ini untuk 5G.
Contoh yang terbaik adalah Petronas ditubuhkan semenjak Ogos 1974 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, Petronas telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk membangunkan dan menambah nilai kepada sumber-sumber minyak dan gas negara. Kini, Petronas telah berkembang menjadi syarikat minyak dan gas dengan kepentingan perniagaan di lebih 50 negara. Selain Petronas, kita juga dapat melihat kejayaan syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia yang telah berjaya berkembang di dalam, dan di luar negara.⠀

g. Andaian bahawa kepentingan kontraktor Bumiputra akan diketepikan di dalam projek 5G juga tidak berasas. Ini kerana salah satu syarat projek 5G ini adalah keperluan untuk memanfaatkan sekurang-kurangnya 60% kontraktor Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang, seperti yang dipersetujui oleh Majlis Kemakmuran Bumiputra yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada mesyuarat 17 November 2021 baru-baru ini.⠀

Sebagai latar belakang, berikut adalah garis masa bagi pelaksanaan 5G di Malaysia setakat ini:⠀

1. Disember 2019: SKMM, di bawah KKMM, telah menerbitkan Laporan Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih. Laporan-laporan ini menekankan, antara lainnya, perlunya perancangan spektrum yang sesuai bagi menyediakan perkhidmatan 5G seawal mungkin bagi pembangunan ekonomi digital Malaysia. Laporan juga mendapati kos tambahan untuk menaik taraf hanya satu rangkaian 4G di Malaysia akan menelan belanja kira-kira RM7.5 bilion, manakala penggunaan rangkaian 5G secara kolektif oleh empat pengendali rangkaian mudah alih utama mungkin akan menelan belanja lebih daripada RM30 bilion.⠀

Pada waktu itu, Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum bagi Jalur Lebar Mudah Alih mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu. Walau bagaimanapun, disebabkan perbezaan kepentingan di kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak terlaksana seperti yang diharapkan.⠀

2. 3 Februari 2021: Jemaah Menteri semasa mesyuarat bertarikh 3 Februari 2021 telah mengambil maklum bahawa sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan akan dilantik bagi melaksanakan infrastruktur rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara. SPV ini akan menyediakan kapasiti dan akses secara borong (wholesale) kepada syarikat telekomunikasi berlesen. Pulangan kepada SPV adalah berdasarkan model pemulihan kos (cost recovery model)bagi memastikan caj perkhidmatan 5G kepada pengguna adalah rendah.⠀

3. 19 Februari 2021: Di Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan 5G oleh SPV milik Kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G, dan di mana menjelang hujung 2021, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat. Beberapa Kementerian termasuk KKMM juga terlibat di dalam majlis tersebut.⠀

4. 1 Mac 2021: Kementerian Kewangan telah mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos (cost recovery model), berteraskan penawaran (supply-led) dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum (profit maximisation). Model pemulihan kos ini menjadi keutamaan supaya pelaksanaan rangkaian 5G dapat dipercepatkan pada kos yang rendah. Ini akan memastikan kos penggunaan 5G oleh rakyat dan perniagaan adalah berpatutan. Model yang berteraskan bekalan ini juga penting bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.⠀

Hakikatnya, buat masa ini, perkhidmatan 4G tidak dinikmati oleh kebanyakan penduduk luar bandar kerana kawasan-kawasan ini tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi. Saya percaya, kes Adik Veveonah Mosibin pada Jun 2020, serta kes beberapa siswi yang terpaksa mendaki bukit setinggi 20 meter di Kelantan untuk menyertai kelas dalam talian yang dilaporkan pada November 2020 adalah dekat di hati seluruh Keluarga Malaysia. Malah, Kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan di mana MNO gagal menyediakan liputan. Syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 82.2% bagi 4G di kawasan berpenduduk. Sebaliknya, DNB menyasar lebih 80% liputan bagi 5G kepada kawasan berpenduduk menjelang 2024.⠀

5. 31 Mei 2021: KKMM telah mengeluarkan Arahan Menteri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Arahan Menteri ini menyentuh tentang penyediaan infrastruktur dan rangkaian 5G, dan menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia bagi merealisasikan potensi 5G.⠀

6. 1 Jun 2021: DNB telah dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] di bawah kawal selia SKMM. DNB telah diberi mandat oleh Kerajaan untuk melaksanakan pembangunan rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara. Kerajaan sedar akan isu serta cabaran model SWN di negara lain, dan telah mengambil langkah untuk memastikan segala kekurangan atau kelemahan yang sama tidak berlaku di Malaysia, terutamanya dari segi tadbir urus oleh SKMM serta garis panduan pelaksanaan yang memastikan penyediaan infrastruktur yang lebih cekap, pantas dan efektif dari segi kos bagi manfaat ekonomi berskala besar. Tujuan langkah- langkah tersebut termasuklah seperti berikut:⠀

a. Kawalan selia SWN oleh SKMM agar semua syarikat telekomunikasi mendapat akses yang adil dan sama rata;⠀

b. Model SWN menggalakkan syarikat telekomunikasi untuk memfokus kepada penambahbaikan produk dan perkhidmatan pelanggan apabila tidak terbeban dengan kos pelaburan modal yang tinggi (seperti yang berlaku di dalam pelaksanaan rangkaian 4G semasa); dan⠀

c. Model perniagaan syarikat serta juga syarat lesen oleh SKMM tidak membenarkan sebuah SWN untuk terlibat di dalam pasaran runcit (retail).⠀

7. 1 Julai 2021: Tender DNB telah dimulakan pada 7 April 2021 selesai pada 1 Julai 2021. Wajaran bagi komponen utama tender adalah dari segi Komersial (30%); Teknikal & Keupayaan (55%) dan Manfaat Sosioekonomi (15%). Proses tender dilaksanakan secara telus oleh perunding profesional Ernst & Young. Sebuah pasukan penilaian tender merangkumi lebih 50 pakar dan profesional berpengalaman dari 10 negara berbeza telah dibentuk untuk menilai tender. Lapan (😎 buah Network Equipment Provider (NEP) yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pelawaan Tawaran (Request for Proposal atau RFP), hanya empat (4) buah NEP yang telah mengemukakan tawaran iaitu Ericsson, FiberHome, Nokia dan ZTE. Berdasarkan penilaian tender, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) telah dilantik sebagai NEP kerana kosnya adalah RM700 juta lebih rendah berbanding kos yang ditawarkan oleh pembida kedua terendah. Proses tender ini juga dilaksanakan secara telus dan kolektif melalui rundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek rekabentuk rangkaian.⠀

8. 10 November 2021: YB Menteri KKMM telah menghadiri Majlis Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration di Ibu Sawat Telekom Malaysia, Titiwangsa dan menyaksikan sendiri ujian integrasi rangkaian 5G DNB SWN dengan lima syarikat telekomunikasi menggunakan model MOCN dilaksanakan.⠀

Justeru, Tengku Zafrul berharap penjelasan ini akan mengakhiri segala kekeliruan mengenai model SWN yang diguna pakai berserta manfaat-manfaat yang jelas merupakan satu solusi menang-menang bagi kesemua pihak.

”Yang paling penting, kerajaan akan terus memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G, pelaksanaan yang cepat serta harga mampu milik bagi 5G untuk seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu atau perniagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

DNB dilantik MOF bukan KKMM – Zahidi