PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah merekodkan peningkatan dalam kes pengutkuasaan termasuk penahanan di pintu masuk
dan serahan ayam hidup serta ayam sejuk beku olehagensi penguatkuasa lain di negeri Kelantan tahun ini.
Sepanjang 1 Januari hingga 30 November lalu, sejumlah 13,281 ekor ayam hidup yang telah dirampas oleh MAQIS.
“Nilai rampasan itu dianggarkan berjumlah RM100,000 dan merupakan serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin ketika cuba dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok.
“Di samping itu, MAQIS juga telah menahan kemasukan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku bernilai RM768,000 sepanjang tahun 2021 yang gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Maqis dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan yang lain akan terus komited serta mengambil langkah serius dalam mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan.- MalaysiaGazette