Home Sukan Rangnick tidak akan pujuk Pogba lanjut kontrak di Old Trafford

Rangnick tidak akan pujuk Pogba lanjut kontrak di Old Trafford

Rangnick tidak akan memujuk Pogba untuk kekal bersama kelab.Foto BBC Sport

LONDON – Ralf Rangnick dilaporkan tidak akan memujuk Paul Pogba untuk melanjutkan kontrak di Old Trafford.

Laporan di London mendakwa Pengurus Sementara Manchester United itu mengambil pendirian tersebut sekiranya bintang antarabangsa Perancis itu membuat keputusan meninggalkan kelab Jun depan.

Pogba, 28, kembali semula ke Theatre of Dreams dengan nilai rekod dunia £89 juta dari Juventus pada 2016.

Bagaimanapun, kontrak pemenang piala dunia itu akan berakhir akhir musim ini dan kini dilaporkan bersedia meninggalkan kelab bulan depan.

“Saya tidak akan kata bahawa dia (Pogba) tidak berbaloi kekal di kelab ini namun setiap pemain sudah pasti mahu kekal dan beraksi untuk Red Devils.

“Sekiranya pemain tidak berhasrat untuk bermain dengan kelab seperti Manchester United untuk jangka panjang, saya rasa adalah tidak bijak untuk buang masa memujuk pemain itu kekal bersama kelab,” kata pengurus warga Jerman itu.

Rangnick menambah bahawa Red Devils yang merupakan kelab yang terbaik dan terbesar tidak rasa mana-mana individu perlu memujuk pemain kekal di kelab.

“Biar dia(Pogba) pulang ke kelab selepas bercuti di Dubai dan kembali cergas dan berlatih dengan pasukan dan kita akan menentukan status kelab kelak,” ujarnya.

Pogba tidak disenaraikan dalam tujuh perlawanan terakhir Red Devils selepas mengalami kecederaan paha semasa beraksi untuk Perancis dalam aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 Oktober lalu.-MalaysiaGazette