Beliau berkata berdasarkan statistik jabatan itu, 70 peratus daripada kes kebankrapan membabitkan mereka yang berumur 35 hingga 45 tahun dan dianggarkan kira-kira 18,000 hingga 20,000 individu diisytiharkan bankrap disebabkan pelbagai punca dalam masa setahun.
“Kesemua individu ini, diminta tampil dan mencari jalan penyelesaian bersama Jabatan Insolvensi serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit untuk menyelesaikan masalah itu bagi mengelak terus berpanjangan. Jangan malu untuk berurusan dengan kami.
“Kami sentiasa bersedia membantu mereka yang diisytiharkan muflis untuk keluar daripada kebankrapan dan mendapat pembatalan bankrap melalui mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdi) bersama Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata Akta Insolvensi 2016 yang diluluskan Dewan Rakyat Mac lepas dijangka akan dikuat kuasa pada Oktober ini, merangkumi lapan perubahan dasar yang akan diterangkan secara menyeluruh kepada orang ramai melalui siri jelajah ke seluruh negara.
Katanya, lapan dasar itu ialah perlindungan penjamin sosial, notis kebankrapan disampaikan secara kendiri, mekanisme penyelamat dan nilai minima kebankrapan dinaikkan (threshold), pelepasan automatik, pelepasan bankrap tanpa bantahan pemiutang, sistem satu perintah kebankrapan dan tabung bantuan insolvensi.
“Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 (Akta Insolvensi) yang dibentangkan ini diyakini akan mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada penghutang malah ia juga memberikan manfaat kepada pihak pemiutang. Ia akan menyediakan mekanisme kepada pemiutang supaya berpeluang atau berhak untuk mendapat pulangan bayaran hutang semaksimum mungkin,” katanya.
Abdul Rahman berkata Akta itu sejajar dengan konsep ‘rakyat didahulukan’ dan menjadi asas yang kukuh bagi mengekalkan momentum jabatan yang komited dalam memberikan kualiti penyampaian dan perkhidmatan terbaik.
— BERNAMA