Home Nasional Pindaan Akta 342: Syarikat langgar SOP boleh dikompaun hingga RM1 juta –...

Pindaan Akta 342: Syarikat langgar SOP boleh dikompaun hingga RM1 juta – Khairy

primary school students mandatory Covid-19 screening Minister of Health, Khairy Jamaluddin at a news conference on the National Health & Morbidity Survey (NHMS) studies 2020 at the Ministry of Health, Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 NOVEMBER 2021. SOP violation compound Act 342
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Syarikat, kilang dan agensi kerajaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan wabak COVID-19 boleh dikompaun hingga RM1 juta selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata itu antara inti pati pindaan Akta 342 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Khamis depan.

Beliau berkata pindaan peningkatan kompaun itu juga berdasarkan penilaian, contohnya jika kesalahan berulang jumlahnya akan menjadi tinggi.

“Peraturan semasa hanya menetapkan jumlah maksimum sebanyak RM50,000 untuk syarikat dan kilang-kilang.

“Untuk individu jumlah maksimum kompaun akan kekal sebanyak RM10,000 tetapi berdasarkan situasi sekarang yang melibatkan pelaksanaan kuarantin di rumah dan sebagainya, pindaan itu juga akan menyentuh perkara seperti pemasangan peranti pengawasan,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas: Menilai Ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Khairy berkata pindaan itu juga amat penting dari segi penguatkuasaan kerana perkara itu akan melibatkan penurunan kuasa yang akan membenarkan bukan sahaja penguatkuasaan boleh dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KKM tetapi juga oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

Beliau berkata pindaaan akta itu akan melibatkan garis panduan yang jelas supaya tidak ada isu penyalahgunaan kuasa selain memberi penekanan bahawa perkara itu adalah bertujuan untuk ‘future proofing’ bagi memastikan perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat.

Katanya pindaan itu juga bagi memperhalusi pelaksanaan kawalan penyakit berjangkit supaya lebih efektif dan efisien.

Khairy menegaskan pihak KKM sentiasa komited dan mengambil pendirian yang tegas untuk memastikan keselamatan semua dalam usaha untuk mengawal pandemik COVID-19 dan turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

— BERNAMA

 

1 Komen

Comments are closed.