KUALA LUMPUR – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dalam Bajet 2022 menyediakan pelbagai insentif bagi membantu mengurangkan beban rakyat.
Antaranya bantuan RM300 untuk warga emas dilihat sangat baik dan ia memberi sinar baharu kepada setiap warga emas di negara ini.
Bagi Zamali Manaf, 66, yang merupakan seorang pesara melahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini.
“Saya nak ucap terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan kepada warga emas.
“Kalau boleh, lanjutkanlah bantuan ini kepada kami, mana larat nak bekerja lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, pemberian itu sesuatu yang melegakan dan berharap ia akan diteruskan.
“Saya ni lega sebab ada pencen.
“Saya syorkan teruskan lagi, jangan sekerat jalan.
“Warga emas tak mampu lagi nak cari pendapatan,” katanya.
Tidak hanya bantuan kepada warga emas, malah kerajaan menerusi siri-siri bantuan sebelum ini turut menyantuni golongan belia.
Bagi Sara Syakila Abdul Razak, 23, yang merupakan seorang graduan, menerima e-wallet sebanyak RM150 merupakan bantuan yang tidak harus berhenti.
“Saya seorang penerima insentif ini iaitu e-wallet.
“Bantuan ini sangat-sangat membantu lagi-lagi yang baru bekerja macam saya,” katanya.
Jelasnya, besarlah harapan agar pihak kerajaan akan terus membantu golongan belia sepertinya.
“Saya berharap sangat, kerajaan tak lupa belia lagi-lagi macam saya yang baru nak mula bekerja,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Iqbal Jamaludin, 22, yang mengakui bantuan RM150 itu membantunya untuk keperluan harian.
“Selain beli buku, saya juga dapat gunakan untuk keperluan yang lain.
“Dapatlah ringankan (beban) ibu bapa saya. Dengan e-wallet tu mudahkan saya untuk guna duit itu,” katanya.
Menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pelbagai bantuan dan inisiatif yang diumumkan dengan peruntukan RM300 juta bagi Program e-Start – Kredit RM150 one-off ke dalam akaun e-dompet belia berumur 18 hingga 20 tahun, dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette