Home Politik BN perlu tampil 90 peratus muka baharu jika mahu rampas Selangor

BN perlu tampil 90 peratus muka baharu jika mahu rampas Selangor

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa

SHAH ALAM – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu dengan menampilkan lebih 87 peratus muka baharu perlu diguna pakai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa berkata, walaupun beliau akui tidak semua strategi di Melaka sesuai digunakan Selangor, namun pendekatan menggunakan calon anak muda semakin mendapat tempat di hati pengundi.

“Kalau Selangor kita nak menang dan rampas Kerajaan Negeri Selangor, kita kena menampilkan 90 peratus muka baharu untuk bertanding di seluruh Dewan Negeri di Selangor.

“Kita kena pastikan kita dapat menampilkan ‘poster boy’ di mana boleh menunjukkan kredibiliti dan wibawa bakal Menteri Besar yang boleh kita canangkan semasa PRU15 nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, semalam.

Azman berkata, strategi menampilkan calon-calon dalam kalangan anak muda itu terbukti memenangkan BN, malah momentum itu dilihat menjadi salah satu pilihan rakyat ketika ini yang mahu perubahan sepenuhnya dalam parti tersebut.

“Jenama UMNO-BN ini sudah lama, sudah 75 tahun. Jadi, selain imej dan rekod prestasi baik dibawa oleh UMNO-BN, tidak terkecuali kita dipalit dengan pelbagai fitnah, spekulasi dan tohmahan.

“Masyarakat pun tidak mahu melihat ‘orang yang itu-itu’ atau balik-balik orang yang sama saja. Penampilan muka baharu sebagai calon parti menunjukkan kesungguhan parti untuk membuat perubahan.

“Masyarakat mahu sesuatu yang segar, dinamik, energetik dan pragmatik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tidak semua formula BN di Melaka itu boleh diguna pakai di semua tempat lebih-lebih lagi dalam PRU15 susulan pendekatan dan strategi dalam politik mengambil kira faktor nasional dan tempatan.

“Mungkin sesuatu strategi atau formula itu sesuai bagi lokaliti di Melaka, tetapi mungkin tidak sesuai dengan lokaliti di Selangor umpamanya.

“Malah, dalam konteks Selangor pun, tidak semua formula negeri boleh diguna pakai untuk lokaliti di Sabak Bernam dan Shah Alam umpamanya.

“Kita mesti ada strategi umum dan mesti ada strategi khusus untuk satu-satu lokaliti sahaja,” katanya.

Berikutan itu, Pergerakan Pemuda UMNO perlu bersiap siaga untuk menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa, apatah lagi selepas rakan politik dalam Kerajaan Persekutuan tewas pada PRN Melaka lalu.

“Bila PRU15? Kita tak tahu! Biar kita tak tahu, tetapi kita ambil tahu, sentiasa bersedia dan bersiap siaga kerana pada bila-bila masa sahaja gendang perang PRU15 dicanang, kita sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya. – MalaysiaGazette