Home Nasional Serah kepada PM beri markah KPI 100 hari – Abdul Latiff

Serah kepada PM beri markah KPI 100 hari – Abdul Latiff

Abdul Latif Ahmad

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen, baik kerajaan mahu pun pembangkang perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyimpan markah tertinggi dan terendah setiap kementerian selepas 100 hari pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad bagaimanapun berkata, markah 90 peratus yang diberikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia baru-baru ini bukan sengaja ditetapkan.

“Soal markah tinggi atau rendah, biarlah guru besar (Perdana Menteri) simpan, tak perlu guru-guru kecil (menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen) tahu. Dia pun baru jadi guru besar, bagilah peluang kepadannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sidang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang minta Perdana Menteri nyatakan apakah justifikasi atau bagaimanakah pengiraan yang mengesahkan pencapaian 90 peratus yan g dianggap tinggi dalam pentadbiran 100 hari kerajaan Keluarga Malaysia.

Kee Chin juga mahu kerajaan mengumumkan kementerian yang memperoleh markah tertinggi dan terendah serta apakah rancangan seterusnya untuk menambah baikkan sebarang kelemahan sedia ada.

Menurut Dr. Abdul Latiff, tujuan utama pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) atau sebelum ini dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah bagi memastikan setiap kementerian mempunyai hala tuju dan perancangan yang jelas dari segi jangkapendek, sederhana dan panjang

Kata beliau, pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari itu juga bertujuan memastikan setiap anggota Jemaah Menteri di kementerian bekerja keras dalam tempoh itu setelah dilantik atau dilantik semula menganggotai kabinet.

“Penilaian prestasi ahli Jemaah Menteri atau kementerian dinilai berdasarkan kepada pencapaian terhadap sasaran yang telah ditetapkan oleh ahli Jemaah Menteri dan kementerian masing-masing.

“Dalam hal ini, penialaian telah diukur berdasarkan kepada perkhidmatan teras kementerian sebanyak 50 peratus, penilaian prestasi menteri yang membawa wajaran 25 peratus  maka 75 peratus kuantitatif empirikal.

“Sementara 25 peratus lagi adalah persepsi awam terhadap menteri dan kementerian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dari Kee Chin.

Menurut Dr. Abdul Latif, bagi memberi ruang kepada rakyat, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengadakan tinjauan soal selidik selama lebih dua minggu dari 1 hingga 15 November lalu.

Kata beliau, dalam tempoh itu, seramai 190,914 rakyat selaku responden telah mengambil bahagian, selain MAMPU juga melaksanakan analisis sentimen melibatkan semua 31 Jemaah Menteri mulai 1 September hingga 5 Disember lalu.

Markah itu, jelas beliau, ditetapkan oleh kementerian dan dalam masa 100 hari apa yang patut dipenuhi oleh kementerian itu.

“Kalau tiga teras dapat dipenuhi dalam 100 hari, maka markahnya 50 peratus dan ini akan dinilai oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan dari sudut empirikal. – MalaysiaGazette