Home Nasional Kertas siasatan kes buli pelajar dirujuk kepada DPP – Mazlan

Kertas siasatan kes buli pelajar dirujuk kepada DPP – Mazlan

Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kes buli seorang pelajar sebuah sekolah berasramah penuh di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua 10 suspek pelajar yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan mereka.

“Kita telah menangkap 10 orang suspek pelajar yang berumur 13 hingga 15 tahun disyaki terlibat dalam kes buli ini. Kita telah memberi jaminan polis kepada kesemua suspek untuk polis melengkapkan siasatan tersebut,” katanya dalam sidang media program Perasmian Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah Mazlan, kertas siasatan kes buli berkenaan sedang dalam proses dilengkapkan oleh polis di Perak.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk keputusan selanjutnya,” ujarnya.

Jelas Mazlan, pihaknya memandang serius mengenai perkara tersebut dan tidak mahu insiden seumpama berulang.

Ujar beliau,  tindakan tegas diambil polis dalam kes berkenaan di bawah akta jenayah iaitu Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin oleh polis. Kita berharap kalau ada perkara ‘bunga-bunga’ yang berlaku (kes buli) agar langkah pencegahan dapat diambil segera.

“Jika tiada pencegahan pantas, nasi akan jadi bubur dan tiada gunanya nanti, maka maklumkan kepada polis segera jika terkesan sebarang insiden seumpama agar tindakan tegas dapat diambil pantas,” tegasnya.

Dalam kejadian pada 9 Disember lalu, video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan  tujuh pelajar tidak berbaju mengepung pelajar tingkatan satu ebelum salah seorangnya menumbuk perut mangsa.

Insiden yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Kangsar itu menerima kecaman netizen dan pengetua sekolah tersebut membuat laporan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridahlathrash Wahid mengesahkan pada awalnya enam pelajar dipanggil sebelum ditahan pada 10 Disember lalu untuk merakam keterangan disusuli empat lagi pelajar dari sekolah sama ditangkap pada hari berikutnya untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette