Home Nasional Penganut Hindu perlu akur SOP Thaipusam – Saravanan

Penganut Hindu perlu akur SOP Thaipusam – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap pada sidang media selepas Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya anjuran Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua penganut agama Hindu di negara ini diminta untuk akur dengan segala prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diumumkan kelak berhubung perayaan Thaipusam.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, kesemua mereka yang merayakan Thaipusam pada 18 Januari ini perlu sama-sama mengambil tanggungjawab dalam memerangi penularan Covid-19.

“Saya bersama Menteri Perpaduan telah menyertai mesyuarat hari ini yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussien (Menteri Kanan Pertahanan) bersama Menteri Kesihatan (KKM) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Daripada segi dasar seperti mana yang saya sebut sebelum ini, kerajaan bersetuju memandangkan ia adalah perayaan agama maka kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mempersetujui untuk perayaan Thaipusam diadakan serta pergerakan kereta berhala tetapi kita telah menetapkan beberapa cadangan untuk memastikan bahawa penularan Covid-19 dikawal.

“Itu (SOP) akan diperhalusi dalam mesyuarat akan datang tetapi dari segi dasar kita setuju,” katanya menerusi sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hishammuddin berkata, mesyuarat ke-10 Menteri Kuartet Covid-19 yang berlangsung memberi tumpuan terhadap perangkaan SOP perayaan Thaipusam.

Jelas Saravanan, ia membabitkan SOP upacara sembahyang di kuil, perjalanan dan pergerakan kereta ‘chariot’, membawa kavadi, membawa belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual mandi sungai dan pembukaan gerai jualan.

“KKM, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perpaduan dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta chariot.

“Penting untuk difahami dalam menentukan setiap SOP, keutamaan kerajaan adalah keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia,” ujarnya.

Pada 7 Disember lalu, media melaporkan semua perarakan termasuk perarakan kavadi bagi perayaan Thaipusam dan Chingay sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tahun hadapan adalah tidak dibenarkan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia berikutan pada ketika ini negara sedang berhadapan dengan jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron. – MalaysiaGazette