KUALA LUMPUR – Skim pengeluaran i-Citra yang bakal berakhir pada bulan ini wajar disambung memandangkan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.
Ini menyebabkan tidak semua rakyat bersedia untuk kembali membayar komitmen mereka.
Masih ada belum mendapat pekerjaan yang stabil, yang berniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya.
Lantaran itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menaruh harapan agar menteri kewangan memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung i-Citra.
Katanya, pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi wajar dibenarkan untuk mengeluarkan wang mereka sekali lagi.
”Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu,” kata beliau.
Ahmad Zahid menambah, kesan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan suam-suam kuku ternyata memberi implikasi ekonomi yang sangat teruk.
”Bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah terhadap ekonomi rakyat. Pasti mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
”Jika kerajaan baharu sedang berusaha memulihkan kewangannya, begitu juga rakyat kebanyakan.
”Jika ada istilah long covid dalam aspek kesihatan, ini pula boleh dianggap sebagai long covid dalam aspek ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette