Home Seni Hidup Suami ketiga kenalan lama, bujang sebelum ini – Saida

Suami ketiga kenalan lama, bujang sebelum ini – Saida

Saida (kanan) dan Mohd. Nooraizal Rasip.

KUALA LUMPUR – Saida yang juga kakak kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mengejutkan ramai pihak baru-baru ini apabila dia mengesahkan berkahwin buat kali ketiga pada 12 Disember lalu.

Malah penyanyi Biarlah Rahsia itu turut memuat naik perkongsian gambar dan video majlis perkahwinan itu di laman Instagramnya.

Saida atau nama penuhnya, Siti Norsaida Tarudin melangsungkan pernikahan dengan Mohd. Nooraizal Rasip selepas lima bulan menjalinkan hubungan serius.

Saida yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam turut memaklumkan yang dia sudah sah berpisah dengan bekas suami sejak Mac lalu.

Perkahwinan kedua yang dibina pada 2016 itu hanya bertahan sekitar empat tahun.

“Saya memang sudah berpisah dengan bekas suami cuma memilih untuk tidak menggembar gemburkannya. Saya anggap jodoh tak panjang antara kami.

“Dalam tempoh kembali solo, saya tidak menduga insan yang sudah lama dikenali atas kawan itu kini bergelar suami.

“Saya percaya jodoh baru ini juga ketentuan dan takdir yang tertulis. Di saat sedikit demi sedikit tertutup hati, saya membukanya semula tanpa diduga,” katanya.

Saida yang baru genap 45 tahun pada 13 Disember lalu memaklumkan suaminya yang bertugas sebagai pengurus kanan bahagia operasi di sebuah syarikat kewangan sebaya dengannya.

“Dia masih bujang. Kehadirannya memberi cahaya dalam hidup saya. Dia menerima saya dan anak seadanya.

“Saya tertarik dengan kedewasaan, kejujuran dan keikhlasan hati dia. Usianya sendiri juga sudah molek untuk berumah tangga. Dia sendiri memikul tanggungjawab menjaga lima orang adik perempuannya. Itu juga yang buat saya yakin dia boleh menjaga saya dengan baik.

“Segala-galanya turut dipermudahkan dan restu keluarga masing- masing cukup penting hingga menyaksikan ikatan serta bahtera perkahwinan ini terpateri. Kami bernikah dan bersanding pada hari sama. Insya-Allah berkemungkinan ada lagi sebuah majlis untuk sanak saudara sebelah suami sedang dirancang,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Saida berkata, anak bongsunya iaitu Siti Nurul Mashitah kini tinggal bersamanya.

Bagaimanapun tiga lagi anaknya tinggal bersama bapa mereka.

Terdahulu, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.

Kemudian Saida berkahwin untuk kali kedua pada 2016 bersama ahli perniagaan, Hafiizh Che Mat. – MalaysiaGazette