KUALA LUMPUR – Walaupun menawarkan gaji sehingga RM1,800 selain menyediakan kemudahan penginapan dan makanan percuma, tetapi hotel masih berdepan masalah untuk mencari pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, banyak hotel empat dan lima bintang menyediakan gaji pokok RM1,800 berserta elaun, kemudahan penginapan dan makanan percuma, tetapi pengusaha masih berdepan masalah mengisi jawatan kosong.
Selain itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (Mybha) Sri Ganesh MicheilĀ berkata, keadaan sama juga melanda ahli persatuannya yang berdepan masalah mencari tukang bersih walaupun menawarkan gaji RM1,800.
“Pertama, orang ramai takut akan kehilangan kerja sekali lagi dan mereka juga bimbang terjangkit COVID-19 kerana sektor ini agak berisiko tinggi,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Pengerusi Mybha Pahang, Pajan Singh pula berkata, walaupun ramai orang dari utara menghadiri temuduga, tetapi mereka ‘hilang’ selepas itu.
Katanya, fenomena itu dipercayai berlaku kerana mereka semata-mata mahu mendapat bayaran elaun melalui Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).
“Saya memang berasa pelik kenapa ramai yang telefon dari jauh atau menghadiri temuduga secara dalam talian, tetapi menolak tawaran kami selepas itu.
“Kemudian, saya diberitahu bahawa mereka ada niat tertentu dan barulah saya faham,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Menurutnya, niat kerajaan dalam mewujudkan EIS adalah baik, tetapi malangnya sistem itu disalah guna sesetengah pihak.
Menurut maklumat pada laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mereka yang menghadiri temuduga secara dalam talian atau secara fizikal sebanyak tiga kali boleh menerima elaun RM300 selama dua bulan, iaitu berjumlah RM600.
Difahamkan, sesetengah orang mungkin sudah ada pendapatan termasuk melalui perniagaan online, tetapi mahu mendapat elaun EIS dengan menghadiri temuduga sebelum menolak tawaran kerja. – MalaysiaGazette