KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 kes kematian baharu Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat tengah malam tadi sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 30,956 orang.
Menerusi data KKM di portal COVIDNOW, 12 daripada 48 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik itu mengambil masa.
Pulau Pinang mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu lapan kes, diikuti Kelantan (6), Sabah (6), Terengganu (6), Selangor (5), Perak (4), Johor (3), Negeri Sembilan (3), Kedah (2), Kuala Lumpur (2), Pahang (1), Sarawak (1) dan Labuan (1).
Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Perlis dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, terdapat 57,674 kes aktif di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 47,600 individu atau 82.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,280 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 4,412 kes dirawat di hospital dan 382 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). – MalaysiaGazette