LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempamerkan sikap tegas ke atas pemain apabila memecat penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang daripada jawatan ketua pasukan.
Arsenal dalam kenyataan rasminya berkata, berikutan perlanggaran disiplin baru-baru ini, Aubameyang bukan lagi ketua pasukan kelab itu.
“Kami sentiasa berharap para pemain kita terutama sekali kapten kita, untuk berkerja mengikut peraturan dan standard yang kita semua telah tetapkan dan persetujui,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Aubameyang telah lambat melapor diri ke kem latihan Arsenal walaupun sudah diberikan pelepasan khas oleh kelab.
Pemain antarabangsa Gabon itu kemudian disisihkan daripada pemilihan untuk aksi berdepan dengan Southampton.
Namun hari yang sama, Arteta mengesahkan pemain itu tidak ada dalam senarai termasuk dalam bangku simpanan kerana masalah disiplin.
Ini bukan pertama kali Aubameyang melanggar peraturan kerana sebelum ini Arteta pernah menyisihkannya kerana kesilapan yang hampir serupa sebelum aksi derbi London Utara menentang Spurs. – Agensi