KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parti Pejuang Tanahair ditubuhkan kerana negara dan orang Melayu akan hancur jika UMNO terus disokong oleh orang Melayu.
Ini kerana, dakwanya, dengan sokongan itu maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi.
”Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanahair ditubuh. Ia adalah parti Melayu/Bumiputera seperti UMNO. Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng, dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan.
”Bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendukung semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union, yang memerdekakan Malaya, dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mahathir mengakui orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu dan bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu melainkan UMNO.
Orang Melayu juga, dakwanya, tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu.
“Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi Kerajaan dan mengguna kuasa Kerajaan untuk memperkayakan diri mereka.
”Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Berbeza dengan pula dengan Parti Pejuang yang menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa.
Tambahnya, kepimpinan Pejuang terdiri dari bekas pemimpin UMNO yang telah berjaya bangunkan Malaysia dan mereka akan latih semua pemimpin Pejuang supaya pegang kuat kepada prinsip perjuangan UMNO dahulu iaitu khidmat untuk bangsa, negara dan agama – bukan untuk diri sendiri.
Calon-calon Pejuang akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama.
”Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia.
”Dengan adanya Parti Pejuang Tanahair yang disertai oleh orang Melayu dan Bumiputera maka orang Melayu dan Bumiputera yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong Pejuang, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette