Home Ekonomi 59% kediaman tidak dilindungi – Zurich

59% kediaman tidak dilindungi – Zurich

KUALA LUMPUR – Sebanyak 59% pemilik rumah tidak dilindungi untuk kerosakan akibat kebakaran, menurut hasil kajian Zurich Malaysia.

Hasil kajian ini membimbangkan kerana berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mereka menerima 38,865 panggilan meliputi kes kebakaran pada 2020, purata satu panggilan setiap 14 minit.

Kerugian yang dianggarkan adalah berjumlah RM2.25 billion, jauh lebih rendah berbanding 2019 iaitu RM3.61 billion.

Sebahagian daripada jumlah ini, 4,599 adalah kebakaran yang melibatkan bangunan dan kandungannya, dan 1,239 daripadanya berpunca daripada kerosakan elektrik manakala 342 disebabkan oleh gas atau kerosin.

Punca-punca lain adalah puntung rokok, ubat nyamuk, lilin dan batang colok.

Memandangkan Malaysia mengalami kitaran musim tengkujuh tahunan, amat mengejutkan untuk mengetahui bahawa dua pertiga (74%) pemilik rumah tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganggarkan 4.8 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

Semasa monsun timur laut 2020-2021, banjir telah menyebabkan 42,947 orang kehilangan tempat tinggal dan telah menjejaskan 11,973 keluarga.

Malaysia sebagai negara yang menempatkan hampir 5.8 juta hartanah kediaman1, hasil kaji selidik ini semakin membimbangkan setelah mendapati secara keseluruhannya hanya satu dari dua rumah dilindungi oleh insurans atau takaful rumah untuk potensi kerosakan.

Tambahan pula, katanya, 43% pemilik rumah tidak menyedari kandungan rumah tidak semestinya dilindungi bawah insurans atau takaful rumah. Kandungan rumah termasuk perabot seperti meja dan kerusi, peralatan, komputer dan peranti mudah alih.

Satu daripada tiga pemilik rumah (33%) yang diinsuranskan tidak mempunyai perlindungan kandungan rumah.

Bagi mereka yang mempunyai perlindungan, 13% membeli pelan berasingan khusus untuk melindungi kandungan rumah mereka.

Angka ini mungkin lebih tinggi kerana suku pemilik rumah (25%) yang diinsuranskan tidak pasti tentang perlindungan insurans atau takaful rumah yang sedia ada.

Ketua Zurich Malaysia Junior Cho berkata, ramao biasa mendengar pepatah ‘Rumahku syurgaku’, justeru rumah seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk diri kita dan orang yang disayangi untuk tinggal, belajar dan bermain.

Jadi, perlu ada usaha dan komunikasi yang menyeluruh untuk memaklumkan pemilik rumah sedia ada dan bakal pemilik tentang jenis
insurans atau takaful yang sesuai untuk melindungi aset mereka dan mengekalkan cara hidup mereka. – MalaysiaGazette