Home Nasional Songkok, sejadah dan telekung ditemui terdampar di pantai

Songkok, sejadah dan telekung ditemui terdampar di pantai

Bingkai gambar pasangan suami isteri yang ditemui di Tanjung Balau petang tadi, dipercayai dibawa oleh PATI dalam bot yang karam.
KOTA TINGGI – Songkok, sejadah dan telekong antara barang yang dijumpai terdampar di pantai Tanjung Balau disini dipercayai milik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat kejadian bot karam awal pagi tadi.
Selain itu, turut ditemui bingkai gambar sepasang suami isteri, selain barangan seperti baju, seluar, pakaian dalam, beg dan barang kosmetik.
Sekurang-kurangnya 11 tekorban, manakala 25 lagi PATI hilang selepas bot dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau, Kota Tinggi kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria menerusi kenyataan berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian itu daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penawar selepas dimaklumkan mengenai penemuan bot itu oleh Markas Taktikal Tanjung Sepang.
Katanya, APMM telah mengaktifkanĀ  Op Carilamat bermula 8 pagi tadi dengan mengatur gerak pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot PETIR 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa.
Sementara itu, JBPM dalam kenyataan berasingan berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat sebuah bot terbalik di perairan pantai berkenaan kira-kira 20 meter daripada pantai.
“Tindakan semasa yang dilakukan adalah dengan menterbalikkan bot bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalamnya.
Operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia. -MalaysiaGazette