Home Ekonomi Pergerakan penumpang KLIA melonjak 623.1 peratus pada November

Pergerakan penumpang KLIA melonjak 623.1 peratus pada November

Orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan perjalanan ke luar negara dengan menaiki pesawat selepas kerajaan membenarkan merentas negeri dan ke luar negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencecah jumlah 821,000 orang pada November 2021, melonjak 623.1 peratus berbanding 114,000 yang direkodkan semasa November 2020.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, trafik penumpang antarabangsa dan domestik yang dikendalikan oleh KLIA, masing-masing menokok 92.9 peratus kepada 145,000 dan 1,656.1 peratus kepada 676,000 menjelang November 2021.

Pengendali lapangan terbang itu ketika mengulas mengenai pergerakan penumpang di lapangan terbang Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB Airports) berkata ia bertambah sebanyak 638.5 peratus pada November 2021 daripada November 2020, dengan pergerakan penumpang antarabangsa serta domestik masing-masing meningkat sebanyak 70.2 peratus dan 645.8 peratus.

MASB Airports mengendalikan sejumlah 38 lapangan terbang di Malaysia kecuali KLIA.

Mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA), MAHB mengulas pergerakan penumpang terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil dan menuju ke arah aliran bermusim seperti pergerakan sebelum COVID-19.

“”Pergerakan penumpang terus mencatatkan antara satu hingga dua juta penumpang tahun ini, dengan 2.4 juta pergerakan penumpang bagi November 2021, mencecah 83.7 peratus daripada jumlah penumpang pada November 2019,” katanya.

Secara keseluruhan, MAHB mengendalikan 4.7 juta pergerakan penumpang pada November 2021, naik 157.9 peratus berbanding November 2020. Ini juga merupakan jumlah tertinggi yang dicatatkan sejak permulaan wabak itu.

“Jumlah pergerakan penumpang untuk November 2021 mencapai 99.0 peratus dari Mac 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia mula dilaksanakan pada 18 Mac dan penggantungan penerbangan antarabangsa di Turki pada minggu terakhir Mac (2020),” katanya.

Pergerakan penumpang antarabangsa serta domestik merekodkan 1.2 juta dan 3.5 juta penumpang pada November 2021, meningkat 128.7 peratus serta 169.4 peratus berbanding November 2020.

Katanya, trafik domestik telah dipacu oleh kejayaan vaksinasi termasuk peraturan perjalanan yang dilonggarkan membabitkan Malaysia dan Turki, mencatatkan 3.5 juta penumpang, pergerakan penumpang tertinggi yang dicatatkan sejak Februari 2020.

“Pergerakan penumpang domestik Malaysia menunjukkan lantunan yang luar biasa hanya tujuh minggu selepas larangan perjalanan antara negeri ditarik balik, merekodkan lebih dua juta pergerakan penumpang, jumlah tertinggi yang dicatatkan setakat ini sejak Mac 2020, mencecah 50.5 peratus daripada trafik November 2019,” katanya.

Pada asas 12 bulan lepas,rangkaian lapangan terbang MAHB secara keseluruhan mengukir penguncupan sebanyak 38.4 peratus kepada 33.0 juta penumpang.

Melangkah ke hadapan, MAHB akan terus memantau perkembangan terkini mengenai varian Omicron dan potensi kesannya terhadap perjalanan udara global apabila lebih banyak negara mula memberikan suntikan penggalak vaksin. – MalaysiaGazette