KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan melakukan perbincangan semula mengenai pindaan Akta 342 dengan mengambil kira bantahan semua pihak sebelum ia dibahaskan ke Parlimen.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau juga akan mengkaji semula cadangan untuk meminda akta yang berusia 32 tahun itu dan perlu meminta nasihat perundangan sebelum melakukan sebarang tindakan.
“Sudah tentu (kaji semula naikkan kompaun), namun saya perlu mendapatkan pandangan dengan penasihat undang-undang.
“Saya sangat menghargainya, sebelum ini saya sendiri sudah berbincang dengan ahli-ahli Parlimen mengenai RUU ini.
“Apa pun saya terima mesej ini (bantahan) dan akan kembali kepada pengurusan KKM yang untuk memperbetulkan balik RUU ini,” katanya ketika ditemui Sekretariat Solidariti Rakyat di bahu Jalan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat, Thamaran menyerahkan memorandum Lawan Pindaan Akta 342 kepada Khairy Jamaluddin sejurus selepas mereka menunjukkan bantahan di Jalan Parlimen, kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Kemunculan Khairy Jamaluddin ketika beliau dalam perjalanan ke bangunan Parlimen dan kenderaan yang dinaikinya berhenti di tengah Jalan Parlimen untuk bertemu dengan anak muda yang membantah sambil memegang plakad dengan pelbagai mesej sejak jam 9.35 pagi tadi. – MalaysiaGazette