KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen akan diberikan penjelasan berkenaan pelaksanaan teknologi 5G pada hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Katanya, penjelasan yang akan diberikan oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu dijangka berlangsung pada pukul 1 tengah hari.
“Bukan hanya kerajaan (akan diberi penjelasan) tetapi (juga) Ahli Parlimen pembangkang,” katanya selepas majlis perasmian Forum Awam ‘Kemampanan Industri Hem dan Ketum, di sini, hari ini.
Semalam, Zahidi menggesa MoF dan Digital Nasional Berhad (DNB) memberikan penjelasan terperinci kepada Kabinet dan rakyat berhubung pelbagai persoalan dan isu berbangkit berkenaan pelaksanaan teknologi 5G.
Ujarnya, antara persoalan utama yang perlu dijawab adalah mengapa DNB dan Ericsson diberi mandat untuk memonopoli penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Beliau sebelum ini mempersoalkan tindakan perbincangan yang diadakan di antara Datuk Saifuddin Abdullah ketika menerajui KKMM dengan MOF tanpa melibatkan beliau yang menyebabkan pelbagai soalan yang dibangkitkan kepadanya di Dewan Rakyat tidak dapat dijawab.
Mengulas lanjut Zahidi berkata, tindakan MoF melantik DNB sudah tentu menjadi tanda tanya.
“Sekarang ini, Parlimen telah memberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk semua digital di bawah kementerian tetapi sekarang MoF nak jadi KKMM, nak ambil peranan itu, sebab itu jadi kelam kabut.
“Kita terima sebab MoF beri peruntukan. Tetapi nak monopoli tu buat rakyat tertanya,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G di Malaysia sudah dibincangkan antara MoF dan KKMM di Kabinet sejak 2019. – MalaysiaGazette