WELLINGTON – New Zealand hari ini merekodkan kes pertama jangkitan Covid-19 varian Omicron.
Kes pertama itu membabitkan pengembara warga New Zealand yang baru mendarat di negara itu dari Jerman.
Kes berkenaan kini diletakkan dalam kuarantin kendiri mandatori di Christchurch selepas diuji dan disahkan positif varian Omicron pada pagi ini.
Individu itu terbang dari Jerman ke Auckland sebelum meneruskan perjalanan ke Christchurch.
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan kerajaannya akan mengkuarantin individu tidak bermastautin tetap sehingga tahun depan untuk melindungi komuniti daripada menjadi pembawa mutasi virus Omicron.
Penemuan kes pertama Omicron di negara itu mencetuskan kebimbangan, sekali gus membawa kepada potensi kawalan sempadan negara tersebut diperketatkan semula.
Bermula 17 Januari 2022, hanya warga New Zealand yang menerima vaksinasi penuh di luar negara, termasuk Australia, dibenarkan pulang.
Warganya yang berada di negara-negara lain yang mahu pelang tertakluk kepada kelonggaran berkenaan.
Manakala, individu bukan pemastautin atau bukan warga New Zealand dilarang memasuki negara itu sehingga 30 April 2022 dengan kuarantin mandatori selama tujuh hari.
Para pakar kesihatan negara itu mendesak kerajaan melaksanakan semula sistem MIQ (Managed Isolation and Quarantine) terhadap warga negaranya yang pulang dari luar negara khususnya dari negara yang dilanda varian Omicron.
Malahan mereka juga meminta kerajaan menangguhkan sementara waktu cadangan membenarkan warga New Zealand dari luar negara kembali semula tanpa melalui proses MIQ bermula 15 Januari 2022 memandangkan varian Omicron tersebar luas di Australia.
Sementara itu, Menteri Pengurusan Covid New Zealand, Chris Hipkins berkata, pihaknya sudah bersedia membuka sempadan secara berfasa. – Daily Mail News