Home Nasional RM64.8 juta perkasa pembangunan agenda sosial rakyat Perak – Wan Norashikin

RM64.8 juta perkasa pembangunan agenda sosial rakyat Perak – Wan Norashikin

ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM64.8 juta bagi memperkasa serta membangunkan agenda sosial rakyat yang lebih dinamik dan sejahtera di negeri itu pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia melibatkan pecahan peruntukan di bawah pembangunan sosial melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sejumlah RM37.8 juta telah diperuntukkan bagi memperkasa kebajikan rakyat melalui skim bantuan am.

Menurut beliau, selain itu sejumlah RM3 juta diperuntukkan kepada skim Tabarru Khairat Kematian bagi meringankan beban dalam menguruskan urusan kematian ahli keluarga.

“Memahami keperluan pemerkasaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pelengkap kepada pembangunan sosial masyarakat, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk dimanfaatkan bagi kepentingan rakyat.

“Peruntukan disediakan RM2.4 juta untuk Program-Program Pendayaupayaan Wanita termasuk RM800,000 bagi belanja mengurus Sekretariat Wanita Perak.

“Program Pembangunan dan Rumah Kebajikan Kanak-kanak dan Anak Yatim pula diperuntukkan sebanyak RM400,000 serta Program Pembangunan Warga Emas adalah RM200,000.

“Bagi menzahirkan keprihatinan kepada rakyat khususnya dalam kalangan B40, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM22.8 juta bagi pelaksanaan Kad Perak Prihatin yang akan memberi manfaat kepada 20,000 penerima.

“Kebajikan kanak-kanak, anak yatim dan warga emas turut menjadi agenda kesejahteraan kerajaan negeri di bawah belanjawan kali ini dengan memperuntukkan masing-masing, RM400,000 dan RM200,000 untuk tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

Wan Norashikin menambah, dengan peruntukan untuk tahun 2022 ini, pihaknya  akan memastikan segala program yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan.

Tambah beliau, ia bagi memberi impak yang holistik kepada rakyat di tanpa mengira idealogi politik, gender, agama atau pun bangsa di negeri itu.

“Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan dan perubahan berpanjangan sama ada dari segi aspek ekonomi, kesihatan dan sosial masyarakat di Perak.

“Pembentangan belanjawan bagi tahun 2022 boleh saya sifatkan sebagai satu belanjawan yang menyeluruh bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ walaupun pada masa yang sama hasil kerajaan negeri menunjukkan graf penurunan pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette