Home Nasional Sindiket bawa masuk PATI Tanjung Balau dikenal pasti

Sindiket bawa masuk PATI Tanjung Balau dikenal pasti

illegal immigrants Tanjung Balau Lombok Indonesia boat capsized
The dead body of one of the illegal immigrants who drowned after their boat capsized in the waters of Tanjung Balau, Johor was found. Mayat pendatang asing tanpa izin yang lemas ditemui di Tanjung Balau, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Dalang dan sindiket yang disyaki terlibat membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin, (PATI) melalui perairan Tanjung Balau, di sini, semalam sudah dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, polis sedang memantau dalang dan sindiket berkenaan dan siasatan dijangka mengambil masa selama 14 hari.

“Dalang dalam sindiket ini masih dalam siasatan yang mana kami tidak boleh beri maklumat secara sahih.

“Kami bimbang mengganggu siasatan kerana semua ini masih dalam siasatan dan pemantauan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), polis Indonesia dan APMM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi yang masuk hari kedua, di sini, hari ini.

Tambah beliau, misi mencari pada hari ini menerusi udara melibatkan kawasan seluas 76.50 batu nautika dan misi pencarian laut membabitkan keluasan 146.81 batu nautika.

“Operasi pencarian di darat juga diteruskan dengan bantuan dari ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keseluruhan anggota dan pegawai di laut dan darat seramai 145 orang,” ujarnya.

Sementara itu, Simon yakin tragedi bot karam itu tidak menjejaskan Ops Benteng yang dilaksanakan sejak dilaksanakan Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette