Home Nasional Krismas: Lawatan keluarga ke PUSPEN dibenarkan jika lengkap vaksinasi

Krismas: Lawatan keluarga ke PUSPEN dibenarkan jika lengkap vaksinasi

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sempena sambutan Hari Krismas bermula 25 hingga 29 Disember ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan khas keluarga atau penjaga kepada klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena dengan sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

AADK dalam kenyataan memaklumkan sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala negeri-negeri yang belum mencapainya hanya dibenarkan mengadakan pertemuan secara dalam talian.

Justeru, kebenaran bersemuka itu masih tertakluk kepada syarat dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan termasuk hanya pelawat yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan bagi tempoh lima hari bermula 25 hingga 29 Disember ini.

“Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak PUSPEN bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19.

“Permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon; khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan
terlibat,” kata AADK.

Tambah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu lagi, lawatan secara walk-in tidak dibenarkan dalam tempoh pandemik ini.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi PUSPEN berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my .

Sesi lawatan keluarga itu akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga dan penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pengekalan kepulihan klien yang berada dalam institusi.-MalaysiaGazette