TANGKAK – Polis mengesahkan Long Tiger yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret di sini semalam belum dapat diberkas.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, pihaknya masih berusaha menjejaki lelaki berkenaan dan mendapatkan khidmat bantuan daripada balai-balai polis berhampiran.
“Sekarang ini belum ada tangkapan, kami tidak boleh maklumkan begitu terperinci kerana akan mengganggu siasatan.
“Kami akan dapatkan bantuan melibatkan pihak polis daripada IPD Muar, Segamat dan Jasin dan Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Fadhil berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Tutup di semua laluan keluar dan masuk di daerah Tangkak dan operasi memburu warga Rohingya dikenali Long Tiger itu sejak semalam.
“Khidmat anjing pengesan K9 juga digunakan dan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Tangkak bagi usaha mengesan suspek,” katanya.
Sebelum itu, hari ini tular audio kononnya Long Tiger sudah ditangkap oleh orang kampung dan diserahkan kepada polis.
Semalam media melaporkan suspek, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, diburu polis selepas berjaya melarikan diri ketika ditempatkan dalam lokap Mahkamah Majistret Tangkak.
Beliau difahamkan berjaya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pukul 11.55 pagi dengan keadaan tangan bergari.
Ketika kejadian Long Tiger dikatakan memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.
Suspek dibawa ke mahkamah berkenaan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 388 iaitu kes ugutan terhadap seseorang dibawa dari penjara di Sungai Udang, Melaka di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat IPD Tangkak di talian 06-9781222 sambungan 7465 atau menghubungi balai berhampiran. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: