KUALA LUMPUR – Wealthpier Berhad, sebuah syarikat perunding perniagaan kembali menganjurkan Business Network Roadshow (BNR) secara fizikal bertujuan menghubungkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelabur di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier Berhad, Muhammad Azim Ishuddin, program yang diadakan menerusi majlis makan malam itu untuk membina rantaian perniagaan dalam kalangan syarikat yang hadir dengan para pelabur undangan yang mahu menjalin kolaborasi.
Menurut beliau, apa yang unik, tetamu diberi peluang memilih jumlah meja, berkongsi pencapaian syarikat, melancarkan produk di pentas dan dalam masa yang sama menikmati makan dan hiburan.
“Program BNR kali ini memilih usahawan PKS sebagai langkah membudayakan pengurusan syarikat ke arah lebih professional, bergaya korporat dan mampu berdaya saing di mata dunia.
“Berbeza dengan syarikat korporat, kakitangan di PKS jarang diraikan dengan majlis penghargaan dan sambutan majlis makan malam bertema di lokasi berprestij. Kami membuka peluang tersebut malah dalam satu dewan yang sama, mereka bukan sahaja mengharmonikan hubungan sesama pekerja tetapi berkenalan dengan kakitangan daripada syarikat lain.
“Lebih daripada itu, ia mengalakkan pihak majikan menghargai pasukan dan pekerja mereka melalui majlis makan malam korporat yang memberi mereka pendedahan pencapaian syarikat -syarikat yang hadir,” katanya ketika berucap pada program BNR itu semalam.
Muhammad Azim menambah, sebelum ini pihaknya telah mengadakan program BNR di beberapa lokasi namun ditangguhkan akibat Pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, kata beliau, syarikat-syarikat yang telah mendaftar terus diberi bimbingan secara dalam talian.
“Wealthpier adalah platform kepada para usahawan berkongsi idea dan padanan perniagaan yang baharu. Misalnya, tiga syarikat PKS, Myt Edutech Berhad, Siam Oasis dan Womentum yang berkongsi idea dan model bisnes, mereka membuka peluang kepada pelabur yang berminat untuk membeli saham ekuiti syarikat masing-masing.
“Pada BNR yang lalu, Wealthpier telah berjaya memadan kerjasama antara pemilik syarikat dengan pelabur yang bernilai keseluruhan sebanyak RM3 juta. Pada majlis makan malam ini, kami menyasarkan jumlah pelaburan bernilai RM700,000 akan dapat dicapai.
“Wealthpier akan memastikan syarikat yang menyertai BNR lebih fokus kepada pemasaran berimej korporat dan perancangan jangka masa panjang. Misalnya syarikat Myt Edutech Berhad iaitu sebuah syarikat pengurusan tuisyen swasta yang berjaya mengumpul dana suntikan modal sebanyak RM1 juta dalam masa dua bulan melalui strategi yang diperkenalkan oleh Wealthpier Berhad
Menurut Muhammad Azim, Wealthpier merupakan syarikat perunding perniagaan dan pegangan pelaburan ditubuhkan pada Mac lalu dengan visi untuk menjadi syarikat pertama dalam industri Meeting Incentive Conference Exibition (MICE) di Malaysia yang akan diapungkan di papan bursa pada tahun 2025.
Syarikat PKS yang berminat menyertai BNR boleh menghubungi pihak penganjur untuk kemaskini majlis dan lokasi.
Mereka yang berminat akan berpeluang untuk menilai, membanding idea dan pengurusan bisnes lebih mantap dengan kenalan baru dan para pelabur. – MalaysiaGazette