KUANTAN – Beberapa lokasi di sekitar Kuantan dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan dalam tempoh 24 jam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommsioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berikutan itu beberapa laluan ditutup sementara bagi kenderaan ringan.
Antara jalan yang ditutup sementara ialah Kilometer 36 Jalan Kuantan – Maran (hadapan Bukit Gambang Resort City), Jalan Tanah Putihdan di Jalan Indera Mahkota berhampiran Kolej Universiti Widad.
“Manakala Jalan Haji Ahmad dan perumahan sekitar Bukit Sekilau dinaiki air paras betis setelah dilanda banjir kilat pagi tadi.
“Turut dinaiki air di lokasi Kampung Jawa dan Kampung Tengah, bagaimanapun keadaan masih terkawal dan trend air mula menurun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Sementara itu, seramai 33 orang mangsa banjir kilat melibatkan sembilan keluarga yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kempadang dan 20 penduduk kampung berhampiran dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Proses menyelamat melibatkan empat anggota bomba bersama satu jentera lori dan dua anggota pondok polis Peramu. – MalaysiaGazette