KUALA LUMPUR – Langkah empat pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang membuat permohonan maaf terhadap Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, perlu dijadikan iktibar oleh pemimpin lain supaya tidak bersikap emosi dan mudah menuduh tanpa fakta.
Individu-individu terbabit adalah Pengarah Komunikasi Amanah Melaka, Jamzuri Ardani; Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni; Ketua Pemuda Amanah Sungai Besar, Selangor, Ahmad Zhafri Md Noor dan mantan Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Kamal Koh Abdullah.
Peguam Kamarul Zaman, Mohd Harris Mohan Abdullah menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima permohonan maaf daripada Jamzuri kepada Kamarul melalui sesi mediasi sebelum bicara penuh dimulakan semalam.
“Dr Kamarul sangat teruja dengan perkembangan ini dan sekarang ini kami mahu lebih fokus kepada beberapa kes besar yang sedang saya kendalikan, termasuk saman-saman beliau terhadap Khalid Samad, Hanipa Maidin, Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Steven Sim dan Datuk Kadir Jasin.
“Selain itu, seorang lagi peguam, iaitu Faidhur Rahman Abdul Hadi juga sedang mengendalikan kes-kes saman beliau terhadap enam pemimpin besar DAP lain, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh dan Dr Ramasamy.
“Kami menaruh keyakinan tinggi kami akan memenangi sebahagian besar daripada kes-kes saman ini seterusnya memulihkan balik imej dan kewibawaan Dr Kamarul yang selama ini cuba dicemar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Mohd Harris, Jamzuri menjadi pemimpin Amanah keempat terpaksa memohon maaf kepada Kamarul Zaman dalam tempoh empat bulan.
Dalam permohonan maaf yang direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen 7, Kuala Lumpur, Lailatul Zuraida Harron @ Haron semalam, Jamzuri memohon maaf kepada Kamarul Zaman di atas status yang dimuat naik di Facebook beliau bertarikh 5 April 2020.
Serentak dengan itu, Jamzuri telah menarik balik kenyataannya itu yang menyentuh mengenai Kamarul Zaman.
“Antara lainnya posting Facebook Jamzuri itu mendakwa Kamarul sebagai seorang yang terlalu naif, seorang yang hanya mampu mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu provokasi politik bodoh dan dan bukan ahli akademik yang cerdik, bukan ahli akademik yang berprinsip serta menjadi kuda tunggangan orang politik,” ujarnya.
Sebelum ini, pada 11 September, Mohd Fitri juga membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya di Facebook beliau yang turut menyentuh mengenai Kamarul Zaman.
Antara lainnya posting Facebook Mohd Fitri itu mendakwa Dr Kamarul sebagai seorang cybertrooper bertaraf doktor, seorang yang cuba membohongi dan mengelirukan pembaca dengan penulisan beliau dan seorang penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan beliau seperti di Facebook, katanya.
Selain itu, beliau berkata, permohonan maaf turut dibuat oleh Ahmad Zhafri pada 29 Oktober selain menarik balik kenyataan beliau dalam posting-posting di Facebook yang juga menyentuh mengenai Kamarul Zaman.
Beliau mendakwa, Kamarul Zaman sebagai seorang yang mempunyai mentaliti pengalah (loser mentality), seorang yang sengaja meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan seorang yang bersifat jahat dan suka menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Pada 4 Disember Kamal Koh turut memohon maaf kepada Kamarul Zaman dan menarik balik kenyataannya di Facebook yang melibatkan Kamarul Zaman.
Beliau antara lain mendakwa Kamarul Zaman sebagai seorang penghasut profesional, seorang yang menulis tulisan yang kekosongan dan seorang yang mendidik rakyat Malaysia menjadi sempit, emosional dan rasis atau asabiyah perkauman.
Turut sama memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau pada 11 November dalam posting Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul adalah Muhammad Al Hanif.
Antara lainnya posting di Facebook Muhammad Al Hanif itu mendakwa Dr Kamarul sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai, seorang yang membuat posting Facebook yang mempertikaikan kehadiran Raja Muda Perlis dalam satu acara bersama Steven Sim dan memadamkannya dan seorang yang memfitnah penerima bantuan motosikal daripada Steven Sim. – MalaysiaGazette