KUALA LUMPUR – Akademi bola sepak iaitu Akademi Wira Muda (AWM) menyasarkan jumlah pelatihnya akan melonjak sebanyak 50 peratus kepada 150 orang pada tahun depan.
Pengasas AWM, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, sasaran itu berdasarkan kemudahan yang lengkap dengan menaik taraf padang latihan menerusi pemasangan lampu limpah bagi sesi latihan pada waktu malam.
Menurut beliau, dengan adanya latihan tambahan pada waktu malam, AWM berharap dapat menarik lebih ramai pelatih baharu untuk menimba ilmu menerusi jumlah latihan tambahan yang meningkat setiap hari berbanding pada hujung minggu sebelum ini.
“AWM akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai pemain muda bola sepak profesional daripada akademi itu yang memerlukan latihan intensif yang lebih efisien dan mantap.
“Apa yang penting, pengurusan akademi perlu memastikan operasi prosedur standard (SOP) dipatuhi dalam usaha mencegah Covid-19 selepas dibenarkan beroperasi bagi merancakkan semula sukan bola sepak tanah air,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Shaik Awish memberitahu, AWM melahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang memberi sumbangan lampu limpah itu berjumlah RM12,500 bagi meneruskan kelangsungan operasi selepas peralihan fasa Program Pemulihan Negara (PPN).
Ujar beliau, sebelum ini, Mansor yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar Dan Air menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,370 dan kabin untuk kegunaan pejabat dan surau kepada AWM yang memiliki pusat Latihan di Mara Excenllent Centre (MEC) di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Akademi ini juga sangat dekat di hati beliau kerana pelbagai sumbangan telah disalurkan seperti peralatan latihan, tiang gol, kabin untuk kegunaan pejabat dan surau demi pembangunan selain membantu dalam penganjuran beberapa kejohanan liga bola sepak bawah 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.
“AWM yakin pembangunan sukan bola sepak khususnya di daerah Nibong Tebal amat berpotensi menghasilkan pemain pelapis yang berkualiti untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Ditubuhkan pada Oktober 2018, AWM pada peringkat awal hanya memiliki jumlah pelatih kira-kira 80 orang pada peringkat awal.
Namun akademi itu ketika ini masih mampu memiliki 100 pelatih di sebalik berdepan penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu apabila terpaksa menghentikan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerak (PKP). – MalaysiaGazette