KUALA LUMPUR – Syarikat Tanzeelworks yang memperkenalkan program Online Tadarus Tadabbur (OTATA) mensasarkan 10,000 peserta menjadikan Al-Quran sebagai bekalan dan teman hidup pada tahun depan.
Pengasas program OTATA, Ustaz Amar Samsuri berkata, pihaknya mahu lebih ramai bijak mengaji dan memahami pengertian setiap bacaan kalam suci itu dalam usaha mengajak mendekati Al-Quran.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2019, Tanzeelworks yang berpengkalan di Kota Tinggi, Johor tidak pernah patah semangat walaupun berdepan penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.
“Inisiatif OTATA yang dicetuskan tahun lalu ketika dunia diserang wabak pandemik Covid-19 setakat ini berjaya membantu hampir 1,000 peserta yang memerlukan bimbingan ilmu Al-Quran daripada segi bacaan, tajwid dan kefahamannya sampai ke hati.
“Misi OTATA sendiri sebenarnya adalah membantu orang ramai menjadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin utama dalam kehidupan seharian di samping dapat menambah baik kualiti bacaan tajwid yang betul.
“OTATA turut membantu orang ramai menemui penyelesaian masalah dan konflik kehidupan melalui kalam suci itu. Insya-Allah kami mahu ramai lagi turut serta. Sasaran 10,000 orang tahun depan itu juga bukan satu yang mustahil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amar yang berusia 31 tahun juga merupakan guru Al-Quran bertauliah dan memiliki lapan tahun pengalaman mengajar.
Beliau memberitahu, OTATA bertunjangkan tiga asas utama yang mana sesinya dikendalikan secara bergilir bersama guru OTATA, Ustazah Raihana Arbain.
“Pertama ialah mahu membimbing mereka secara istiqamah untuk mengaji setiap hari. Kebiasaannya waktu mengaji ini dibuat secara virtual menggunakan aplikasi Zoom selama sejam dari pukul 7 hingga 8 pagi dan sasaran diberi dalam tempoh lapan bulan untuk khatam Al-Quran.
“Cara mengaji dilaksanakan adalah secara bertadarus ayat demi ayat berjemaah seperti kaedah saya belajar dengan guru quran dulu. Tugas saya dan Ustazah Raihana adalah membimbing mereka di mana harus berhenti (waqaf) dan sambung bacaan (ibtida’) selain menekankan hukum hakam tajwid dalam bacaan Quran.
“Keduanya, dalam sesi sejam itu turut akan diselit topik tumpuan tajwid dalam bacaan yang ditekankan setiap hari.
“Ketiga ialah dapat membimbing lebih memahami ayat pilihan untuk panduan kehidupan seharian,” katanya.
Secara purata, kata Amar, OTATA telah menarik minat kira-kira 80 peratus golongan wanita dan selebihnya lelaki di antara lingkungan umur 24 hingga 40 tahun ke atas.
jelas beliau, ketika ini sesi OTATA itu sudah memasuki musim keempat dan dijangka berakhir Mac depan.
OTATA musim kelima pula bakal dilancarkan dan dibuka setelah majlis khatam OTATA musim keempat tamat.
“Memang pada awalnya apabila sesi kita bermula awal pagi dan ada peserta berdepan pelbagai cabaran dan kekangan lain termasuk waktu bekerja. Namun, usah risau kerana peserta juga turut diberi akses menonton semula rakaman mengaji dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita sangat memahami bahawa bukan mudah hendak istiqamah dalam hal ini. Malah ada yang sudah pandai mengaji tapi masih tidak berjaya menjadikan ia rutin atau tabiat harian.
“Namun kalau mengaji sudah lancar dan betul, semakin seronok mengaji beramai ramai ini. Malah sempat saya buat kompilasi kisah 50 peserta yang hidup mereka berubah, rezeki bertambah dan hidup lebih berkat dengan menjadikan Al-Quran teras hidup di samping amalan ibadah lain juga turut bertambah baik” katanya.
Bagaimanapun, Amar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana sebelum melangkah ke tahap terakhir OTATA, mereka terlebih dahulu melalui dua peringkat ‘mukadimah’.
“Jangan risau, kita anjurkan program edisi khas Kuasai Asas Ngaji selama sejam di mana program ini mendedahkan kepada peserta pelbagai formula mudah dan ringkas untuk menguasai asas bacaan Al-Quran dalam suasana yang santai dan menghiburkan.
“Kewujudan program ini adalah kerana kita faham ada pelbagai tahap bacaan mengaji bagi peserta yang hadir. Ada yang ingat asas tapi mudah lupa dan ada yang baru nak bermula untuk mengaji,” katanya.
Melalui program ini, maka peserta akan rasa lebih bersedia ke fasa mengaji dalam lingkungan OTATA.
“Untuk fasa pertama ini kita berikan pendaftaran percuma jika mendaftar seramai tiga orang. Hal ini kerana kita hendak galakkan lebih ramai turut serta. Kalau mendaftar seorang diri, kita kenakan yuran komitmen serendah RM30.
“Seterusnya fasa kedua ialah Praktis Ngaji OTATA atau singkatannya disebut PRANO yang kami hadiah khas untuk peserta program Kuasai Asas Ngaji secara percuma selama sebulan.
“Peserta juga akan dapat hadiah e-buku Nak Baiki Al Fatihah secara percuma. Bagaimanapun jika peserta tamat sebulan kelas PRANO percuma ini, mereka boleh teruskan belajar dengan bayaran yuran serendah RM30 sebulan. Untuk turut serta boleh tekan pautan bit.ly/AsasNgaji5,” katanya.
Tambah Amar lagi, secara total sejak ditubuhkan, menerusi pelbagai acara dianjurkan sama ada secara atas talian atau fizikal, mereka sudah membantu lebih 16,897 peserta.
Jumlah itu merangkumi sama ada dari dalam dan luar negara untuk membaca dan memahami Al-Quran. – MalaysiaGazette