Home Nasional Penyakit ASF di kesan pada babi hutan di Bidor dan Jerantut

Penyakit ASF di kesan pada babi hutan di Bidor dan Jerantut

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan penyakit African Swine Fever (ASF) pada babi hutan di Bidor dan Sungkai Perak serta Jerantut Pahang.

Ia susulan pengesahan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh menggunakan teknik Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan sequencing analisis menunjukkan virus ASF adalah strain Genotype II.

Namun, setakat ini tiada ladang babi komersil yang terlibat dan pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantuan (survelan) sentiasa dipantau dengan ketat.

DVS berkata, memandangkan penyakit ASF adalah tidak zoonotik (tidak berjangkit pada manusia) maka orang ramai dinasihatkan tidak panik.

Serentak itu, DVS telah melaksanakan beberapa tindakan pengawalan dan pencegahan penyakit ASF dengan memperketatkan syarat pindah babi dan produk babi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, libat urus dan kempen kepada pengusaha ladang babi komersil untuk memperketatkan biosekuriti ladang dan pemantauan (survelan), pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersil di kawasan terjangkit dan survelan lapangan akan terus dipergiat dari masa ke semasa dan penyiasatan serta persampelan pada babi hutan yang ditemui mati.

Survelans dan pemantauan klinikal di outlet jualan dan rumah sembelih babi seluruh negara.

DVS turut bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi terlibat dalam perladangan sawit Malaysia.

Setakat ini, wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya berlaku pada babi hutan sahaja.

Tiada ladang babi komersil yang terlibat dan pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantuan (survelan) sentiasa dipantau dengan ketat.

Penternak babi juga diminta meningkatkan biosekuriti di ladang babi masing-masing bagi mencegah rebakan penyakit ASF di kalangan babi komersil.

DVS meminta kerjasama penternak dan orang awam supaya melaporkan segera sebarang kematian luar biasa pada babi hutan, babi kampung dan babi komersil kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi talian 03-88702041. – MalaysiaGazette