Home Dunia Pencuri tebuk dinding bilik pameran larikan 15 kg barang kemas dan berlian

Pencuri tebuk dinding bilik pameran larikan 15 kg barang kemas dan berlian

sebanyak 15 kilogram emas yang diletakkan di bilik pameran sebuah kedai emas telah dipecah dan diloloskan penyamun bertopeng gelap dalam kejadian Selasa di daerah Vellore, Tamil Nadu, India.

TAMIL NADU, India – Seorang lelaki memecah masuk sebuah bilik pameran kedai emas dan melarikan 15 kilogram emas dan 500 gram berlian dari premis itu.

Nilai anggaran emas yang disamun itu dilaporkan berjumlah RM4.431 juta atau 8 crores rupees dalam kejadian yang disyaki berlaku pada tengah malam.

Penyamun itu dipercayai menebuk dinding bilik pameran utama kedai emas yang terletak di daerah Vellore dengan menggunakan gerudi sebelum menyapu bersih barang kemas dan permata yang dipamerkan.

Menurut pegawai polis, pihaknya mengesyaki suspek mungkin memasuki premis itu melalui premis kosong yang terletak di sebelah.

Suspek dikatakan memakai topeng dan menyembur serta mengkaburkan kesemua 12 kamera litar tertutup yang dipasang di bilik pameran kedai emas itu.

Polis telah membuka kertas siasatan serta memeriksa rakaman litar tertutup di kawasan sekitar lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk.

Empat pasukan siasatan khas telah ditubuh polis Vellore untuk menyiasat kes samun barang kemas itu.

Pasukan forensik juga mengumpul bahan bukti seperti rambut palsu di lokasi.

“Wajah penyamun terakam pada litar tertutup kedai itu tetapi kita masih tidak boleh menjelaskan sama ada ia adalah orang biasa atau kumpulan samseng yang terlibat dalam jenayah ini manakala operasi mengesan suspek sedang dipergiatkan polis.

“Empat pasukan penyiasatan khas dibentuk dan beberapa petunjuk dikumpul selain unit anjing pengesan turut digunakan di lokasi sebelum berjaya mendapat beberapa petunjuk daripadanya, bagaimanapun saya tak boleh dedahkan sekarang kerana bimbang siasatan terganggu nanti,” kata Superintendan S Rajesh Kannan.

Kehilangan barang kemas di bilik pameran hanya disedari oleh kakitangannya selepas membuka pintu pada sebelah pagi.

Para kakitangan yang bekerja di premis itu disiasat dan diambil keterangan oleh polis. – India Today.