Home Politik Rasuah bukan lagi perjuangan golongan ulama – Mat Sabu

Rasuah bukan lagi perjuangan golongan ulama – Mat Sabu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menunjukkan buku “JUANG oleh Mat Sabu” selepas majlis pelancaran di Mardiyah Hotel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu mendakwa golongan ulama tidak memperjuangkan isu rasuah dalam negara.

Beliau turut mendakwa golongan ulama dan para agamawan kini tidak lagi membawa ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, golongan berkenaan juga dilihat tidak memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan keadilan sosial.

“Golongan yang paling berpengaruh dalam masyarakat adalah para agamawan tapi kita tengok sekarang agamawan tidak lagi ikut Muhamad SAW. Kita tidak ikut agama yang dibawa Nabi sebaliknya kita ikut agama yang dibawa oleh lebai-lebai. Lebai Mesir, Lebai  Mekah, Lebai Melayu. Sebab itu soal keadilan sosial tidak menjadi tajuk utama (perjuangan utama).

“Tapi hal harta, nepotisme, hal rasuah tidak menjadi perjuangan para ulama. Kenapa jadi begitu?,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Buku Juang Mat Sabu’.

Buku “JUANG oleh Mat Sabu” yang ditulis oleh Mohamad Sabu dipamerkan pada majlis pelancaran di Mardiyah Hotel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2021.

Mat Sabu dalam masa sama menyifatkan, pemikiran kaum Melayu juga kini dibelenggu dengan propaganda untuk membenci kaum lain terutamanya bukan Islam.

“Sepatutnya golongan intelektual kita memainkan peranan agar kita tidak hidup di bawah propaganda. Melayu kuat tentang perkauman.

“Kalau hal Forest City orang Melayu tidak rasa apa-apa tapi orang Melayu marah kalau abu Chin Peng dibawa balik. Bagaimana bentuk pemikiran sebegitu.

“Pemikiran bahawa hilanglah negara tidak apa,  jangan abu Chin Peng dibawa balik. Sampai bila kita nak hidup di bawah propaganda yang dicipta ini?,” katanya lagi.

Perkara ini ujar beliau, antara yang terkandung di dalam buku hasil nukilannya.

Mat Sabu berkata, beliau akan terus menghasilkan buku yang lantang dalam pelbagai aspek pada masa akan datang.- MalaysiaGazette