Home Ekonomi Khazanah labur AS$410j di AS

Khazanah labur AS$410j di AS

Khazanah
Khazanah Nasional Bhd terus mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara, dengan nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM86 bilion pada 2021 daripada RM79 bilion tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad telah membuat 15 pelaburan bernilai kira-kira AS$410 juta di Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor teknologi.

Menurut Khazanah, pelaburannya mewakili 1.3 peratus portfolio Nilai Aset Boleh Direalisasikan sebanyak RM145.3 bilion setakat 31 Disember 2016.

Pelaburan yang dibuat itu selari dengan polisinya untuk mempelbagai portfolio di luar negara.

Ia termasuk membuka Khazanah Americas Incorporated di San Francisco pada September 2013 yang fokus dalam sektor inovasi dan teknologi, menurutnya dalam satu kenyataan di sini.

Pejabat itu adalah operasi ketiga daripada lima cawangan di luar negara, selain Beijing, Mumbai, Istanbul dan London.

Khazanah menegaskan ia mempraktikkan proses ketetapan dan penilaian yang ketat terhadap cadangan-cadangan pelaburan, yang melibatkan usaha terperinci dan saluran pelaburan yang banyak, sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Khazanah untuk dipertimbang dan diluluskan.

Secara keseluruhannya, penciptaan nilai jangka panjang dari portfolio pelaburan tetap mantap, dengan portfolio Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) meningkat sebanyak 3.1 kali atau berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.3 peratus setahun, untuk tempoh dari Mei 2004 hingga 31 Disember 2016.

Selaras dengan mandat sebagai dana pelaburan strategik yang mewujudkan nilai jangka panjang untuk Malaysia melalui pelbagai sektor dan geografi, Khazanah akan terus meneroka peluang pelaburan di Amerika Syarika terutamanya pada sektor inovasi dan teknologi, katanya dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette