Home Nasional UMNO Selangor usul sokong Ismail Sabri sebagai PM hingga habis penggal

UMNO Selangor usul sokong Ismail Sabri sebagai PM hingga habis penggal

TANJONG KARANG – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor pada Rabu lalu  memutuskan untuk membawa usul menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

Perkara tersebut yang didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Tan Sri Noh Omar sebentar tadi.

Kata beliau, dalam mesyuarat itu, semua yang hadir telah sebulat suara dengan usul tersebut.

“Kita ada buat dua usul, satu adalah menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menghabiskan penggal sehingga tahun 2023.

“Seperti yang saya sebut tadi dalam ucapan perasmian tadi, kita sokong Datuk Seri Ismail Sabri terus jadi Perdana Menteri habis penggal untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang ke-33 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan, Noh Omar berkali-kali mengingatkan para perwakilan untuk tidak tergesa-gesa membuat keputusan mendesak pilihan raya awal atau bubar Parlimen.

“Kerajaan ini baru sahaja berusia 100 hari, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kerajaan dengan rata-rata pemimpin adalah dalam kalangan UMNO juga. Penggal ini sahaja sudah tiga kali tukar kerajaan.

“Tiga kali itu juga Yang DiPertuan Agong (YDPA) tidak bubar Parlimen sebaliknya ada undian untuk pilih Perdana Menteri. Sekarang ini pun, kuasa sebenarnya di tangan Agong bukannya tangan parti. Perdana Menteri hanya boleh nasihat.

“Jadi kita kenapa kalut-kalut, biarlah YDPA yang tentukan. Pilihan raya parti itu lain, PRU lain. Dua perkara berbeza dan bidang kuasa berbeza. Rakyat masih lagi perlu lagi perhatian kerajaan, banyak yang perlu dilakukan untuk mereka.

“Biarlah rakyat tengok sebelum ini ada Pakatan Harapan (PH) yang manifestonya bukan kitab suci, kemudian datang pula Perdana Menteri dari Bersatu. Sekarang kita ada PM dalam kalangan UMNO, kita langsung tidak mimpi pun.

“Jadi bukankah ini masa untuk rakyat menilai sendiri bagaimana pemimpin UMNO ini bekerja untuk rakyat? Saya mohon dan merayu kepada warga UMNO Tanjong Karang ini fikir masak-masak, beri sokongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noh Omar yang juga mendedahkan Badan Perhubungan UMNO Selangor turut membawa satu lagi usul iaitu mahu meneruskan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas di negeri. -MalaysiaGazette