PONTIAN – UMNO Johor akan menyokong penuh pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus memimpin negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Jadi, tugas UMNO sekarang adalah untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu serta memainkan peranannya sebagai parti politik yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat di negara ini.
“Ada yang suruh membuat usul untuk kita semua berikrar dan menyokong perdana menteri, perlu ke ikrar sokong perdana menteri? Perdana Menteri itu dari UMNO sendiri dan UMNO ini sebuah parti yang lebih dari 70 tahun dan sudah matang betul.
“Saya amat kecewa kalau pemimpin menganggap kita di cawangan-cawangan seolah- olah tak pandai berpolitik dan tak reti soal membuat pertimbangan, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian di sini hari ini.
Hasni yakin, sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri akan membawa kestabilan dalam pelbagai aspek.
“Kita akan sokong perdana menteri, itu pendirian UMNO Johor. Kita akan sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pimpinlah negara ini baik-baik, buatlah dasar yang terbaik untuk menjaga UMNO, orang-orang Melayu, rencanakanlah program- program yang terbaik demi kepentingan, kedudukan parti UMNO,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu melakukan terbaik dalam mengembalikan keyakinan masyarakat. – MalaysiaGazette