KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah berbangkit berkaitan projek-projek sakit di samping berbincang dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan kerjasama bagi membangunkan projek rumah mampu milik dalam kalangan M40.
Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau bersama pasukan kepimpinan PR1MA sedang dalam rangka turun padang untuk melihat projek sakit dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan yang dibuat menerusi platform-platform rasmi PR1MA.
Katanya, siri jelajah PR1MAKita itu dimulakan menerusi projek-projek di utara Semenanjung melibatkan Perak dan Kedah serta akan diteruskan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang.
Antara projek yang dilawati ialah Residensi Bandar Baru Setia Awan Perdana, Residensi Meru, Residensi Taman Raia Harmoni di Perak serta Residensi Junjong Fasa 1 dan Residensi Simpang Empat 2 di Kedah.
“Telah menjadi keutamaan saya untuk memfokuskan isu berbangkit mengenai kelewatan dalam penyiapan projek pembangunan daripada garis masa yang diberikan serta masalah yang timbul melibatkan pihak kontraktor dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fathul Baru menambah, usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah itu adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk membina 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang berkualiti buat Keluarga Malaysia.
“PR1MA sebagai sebuah agensi kerajaan akan terus berusaha untuk mendukung aspirasi ini, dan untuk sekarang kami beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah melibatkan manamana projek sakit. Ini sekaligus dapat membantu kita mencapai matlamat yang ditetapkan kerajaan menjelang 2025,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, telah bertemu dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan berbincang berhubung pembangunan rumah mampu milik di negeri berkenaan.
“Sebagai pelaksana kepada projek-projek pembangunan rumah mampu milik, kami dapat meluaskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk membina rumah yang berdaya huni di lokasi strategik di Negeri Perak khusunya untuk mereka dari golongan M40,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md. Shariff berkata, beliau sangat berharap dengan peluasan projek PR1MA di Perak, lebih banyak rumah mampu milik akan dapat dibina sekaligus, menunaikan impian rakyat Malaysia terutamanya golongan M40 untuk memiliki kediaman sendiri, selari dengan pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.
Selain itu kata beliau, sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat di bawah jenama PR1MAKita, PR1MA juga mengagihkan pek bakul makanan, bantuan kewangan kepada asnaf berdasarkan senarai dari MajlisAgama Islam Perlis (MAIP) serta sumbangan kepada masjid dengan nilai keseluruhan sebanyak RM259,900.
Sumbangan itu katanya, disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan Basikal anjuran MAIP yang bermula di Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah, Arau dan turut disertai Fathul Bari serta barisan kepimpinan PR1MA yang lain. – MalaysiaGazette