KUALA LUMPUR – Dua individu yang terperangkap di parkir tingkat bawah tanah di Hotel Acapella, Shah Alam, dekat sini, diselamatkan anggota bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang didapati terperangkap sebelum paras air semakin naik.
“Sampai di lokasi didapati terdapat dua mangsa sedang berada di tingkat bawah tanah untuk mengalihkan kenderaan yang sedang ditenggelami air.
“Anggota bertindak pantas mengeluarkan mangsa sebelum paras air naik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan perkongsian di laman Twitter, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang.
Menerusi beberapa video yang dikongsi, orang awam yang dipercayai menginap di hotel berkenaan berdepan situasi cemas selepas mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa yang terperangkap.
Dalam perkembangan lain, Norazam berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor hari ini menerima beberapa panggilan banjir di enam lokasi di Shah Alam.
Jelas beliau, lokasi tersebut adalah Taman Seri Muda; Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22; Jalan Ikan Haruan 2, Kampung Bukit Lanchong; Jalan Batu Bata, Bukit Kemuning; Jalan Mat Raji Seksyen 17 dan Jalan Snuker 13/27, Seksyen 13. – MalaysiaGazette