KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menangguhkan Konvensyen Nasional parti itu hari ini berikutan banjir yang melanda seluruh negara khasnya di Lembah Klang.
Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, tarikh baharu konvensyen tahunan itu akan ditetapkan kemudian.
“Setelah meneliti keadaan terkini banjir yang melanda Selangor dan beberapa negeri di seluruh negara dan kesannya kepada ramai penduduk terlibat serta atas rasa solidariti dan kepedulian dengan semua mangsa dan rakyat, maka dengan persetujuan kepimpinan parti adalah dimaklumkan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2021 yang ditetapkan pada hari ini, Ahad 19 Disember 2021 ditangguhkan kepada tarikh dan tempat yang akan dimaklumkan kemudian.
“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Konvensyen Amanah Nasional 2021 ini sepatutnya berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor mulai pagi hingga malam ini.
Semalam berlangsung konvensyen Pemuda dan Wanita Amanah Nasional yang diadakan secara hibrid. – MalaysiaGazette