Home Nasional Terpaksa ‘bermalam’ dalam kereta selepas 10 jam terkandas

Terpaksa ‘bermalam’ dalam kereta selepas 10 jam terkandas

Sebahagian orang ramai yang terkandas akibat banjir dan terpaksa bermalam di tepi jalan di batu Tiga Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – “Saya tak sangka banjir seteruk ini dan ini kali pertama saya terperangkap dan tidur di dalam kereta selama lapan jam.”

Itu luahan seorang petugas media Hafidzul Hilmi Mohd Nor, 32, yang terperangkap bersama ratusan pengguna di Kilometer 15.4 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Shah Alam yang dinaiki air banjir sejak semalam.

Hafidzul yang hendak pulang ke rumah terperangkap ketika cuba melalui Jalan Persekutuan pukul 6 petang semalam.

Beliau yang enggan berputus asa mencuba nasib untuk menggunakan Lebuhraya Kesas namun keadaan yang sama juga berlaku di lebuhraya tersebut memaksa pihak berkuasa menutup laluan itu.

“Saya tanpa putus asa pergi ke Lebuhraya NKVE juga tapi gagal juga sebab jalan itu pun ditutup disebabkan banjir teruk,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi pagi ini.

Hafidzul Hilmi Mohd Nor,

Selepas pasrah segala akses jalan pulang ke rumahnya yang terletak di Jalan Yadi Klang gagal dilalui, Hafidzul terpaksa berpatah balik ke Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga Shah Shah Alam sebelum meletakkan kereta di tepi jalan menunggu air banjir surut.

“Saya kembali ke Lebuh Raya Persekutuan di lokasi Batu Tiga depan susur keluar Glanmarie dan parkir kereta tepi jalan sekitar jam 10.30 malam dan bermalam dalam kereta sampai sekarang masih di sini sambil berharap air surut,” katanya lagi.

Menurutnya dia terpaksa menahan kelaparan dan mendapatkan makanan di stesen minyak yang terletak sebelah lebuh raya tersebut.

Dalam pada itu seorang lagi mangsa pemandu lori treler yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaimi mengeluh perkara yang sama.

Dia juga terpaksa bermalam di atas jalan Lebuhraya Persekutuan berhampiran Batu Tiga selepas melihat keadaan jalan yang ditenggelami air sehingga paras pinggang dan tidak menampakkkan tanda tanda surut sehingga 10 pagi ini.

“Saya sudah melalui tiga laluan, malangnya semua laluan itu ditutup akibat dinaiki air banjir akibat hujan tanpa henti sejak pagi semalam.

“Saya kemudian membuat keputusan untuk melalui Lebuhraya Persekutuan namun tidak menyangka saya akan terperangkap di sini pula.. saya nampak ada yang lori ambil risiko lalu tapi lepas seberang sana dah tak boleh start pula.. maka saya buat keputusan parkir lori tepi dan tunggu air surut sahaja,”katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, walaupun penghadang jalan sudah dibuka untuk pengguna membuat pusingan U namun dia mengambil keputusan untuk tidur di dalam kenderaan.

“Keadaan sesak, nak buat pusingan memang boleh tapi perlu menunggu lama, silap-silap kereta boleh rosak,” katanya.

Ketika ini, air di kawasan berkenaan masih tinggi dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk surut setakat pukul 10.15 pagi.

Orang ramai yang berada di kawasan ini juga turut membantu satu sama lain dengan berkongsi makanan yang dibeli dari stesen minyak Petronas bersebelahan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shah Alam terkepung, ramai terkandas sejak semalam