Home Nasional Anak saya belum makan, harap ada bantuan – Mangsa banjir

Anak saya belum makan, harap ada bantuan – Mangsa banjir

Faizal Hassan (tengah) bersama beberapa penduduk melihat keadaan banjir di Nanding, Hulu Langat hari ini.

HULU LANGAT – Banjir memang dianggap bagai ‘acara tahunan’ kepada penduduk sekitar Nanding di sini sejak tahun 1972 lagi namun kali ini bencana alam itu agak luar biasa.

Rata-rata mereka terkejut apabila ini kali pertama paras air yang selalunya naik setakat bawah paha sahaja kini mencecah sehingga paras bumbung kediaman.

Seorang penduduk, Chandrasekraran Sinniah risau mengenangkan nasib dua anak perempuannya.

Chandrasekraran Sinniah

“Mereka (dua anak perempuannya) belum makan lagi, masih duduk di ruangan atas rumah sementara berharap ada bantuan,” katanya menangis ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Salah seorang penduduk Kampung Dusun Nanding, Faiz Jamalludin pula berkata, sejak semalam hatinya sudah tidak senang dengan keadaan hujan tanpa henti namun tidak menyangka paras air naik sehingga ke bumbung.

“Ini yang paling teruk, isu banjir di Nanding ini terlalu normal dan biasa kerana kerap berlaku hampir saban tahun. Penduduk sudah penat mengadu tentang isu banjir kepada pihak berwajib, wakil rakyat tetapi tidak pernah nampak surutnya.

Faiz Jamalludin

“Sekarang ini kita mohon bantuan dari pihak berkuasa, Ramai lagi tersekat ini tanpa bantuan asas sejak malam tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Faizal Hassan pula, air mula naik sekitar pukul 2 petang tetapi menjadi makin teruk selepas pukul 3 pagi tadi.

“Paling kuat paras lutut dua kaki, kita memang total lost ini. Sehelai sepinggang sahaja. Malam tadi kita tidak nampak sebarang bantuan dari pihak berkuasa, memang takut. Tidak ada polis bomba atau kecemasan. Langsung tiada. Bayangkan yang OKU, warga emas dan kanak-kanak.

“Saya sudah duduk sini sejak sembilan tahun lepas, ini paling teruk dan kami sudah tidak tahu apa yang boleh dibuat,” ujarnya.

MalaysiaGazette yang berada di lokasi sekitar Kg Dusun Nanding dan Taman Sri Nanding keadaan masih lagi tidak nampak surut dan air masih paras pinggang.

Pasukan keselamatan seperti polis, bomba dan Pertahanan Awam juga sudah mula menggunakan sampan membawa keluar penduduk terperangkap di kediaman mereka. -MalaysiaGazette