KUALA LUMPUR – “Habis semua bawah kereta saya berselut masa redah banjir, tapi tak apalah janji penumpang sampai (destinasi).”
Itu luahan pemandu e-hailing yang ingin dikenali sebagai Boon Wah, 51, yang sanggup berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai bapa yang masih menyara seorang anaknya di bangku persekolahan.
Meskipun terkesan dengan beberapa kawasan yang banjir di sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan ibu kota ekoran hujan berterusan sejak semalam, tugasnya sebagai pemandu e-hailing tetap diteruskan.
“Dulu saya jual kasut, sekarang susah sebab ramai jual lagi murah dari saya, jadi saya buat e-hailing macam inilah.
“Ini banjir pun ada juga orang gerak keluar, ada pergi kerja, jadilah untuk saya dapat income (pendapatan) sikit untuk satu anak sekolah lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menceritakan pengalamannya sepanjang lima tahun dalam industri e-hailing, dia mengakui banjir kali ini paling teruk dalam sejarah hidupnya.
“Banjir ini kali sangat teruk, habis semua rosak saya tengok. Sebelum ini banjir kilat sikit-sikit kalau paras tayar sikit sahaja saya boleh redah lagi, tapi ini kali ada juga customer (penumpang) minta patah balik sebab teruk sangat,” katanya lagi.
Tambah Boon, rumahnya juga di Jalan Kebun, Shah Alam turut terkesan dan mengalami kerosakan harta benda apabila dinaiki air paras buku lali.
“Sebab itu saya masih kerja, banyak barang juga rosak, karpet, almari habis reputlah kena air, harap ada bantuan government (kerajaan) tolong kitalah nanti,” ujarnya.
Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk pembaikian rumah dan infrastruktur yang rosak akibat banjir yang berlaku sejak semalam termasuk RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan dengan bencana alam berkenaan. – MalaysiaGazette