Home Nasional KWSP bukan baharu melabur di AS – Najib

KWSP bukan baharu melabur di AS – Najib

KUALA LUMPUR – Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat bukan baharu kerana ia sudah beberapa tahun melabur dalam pasaran saham itu dan Eropah bagi meningkatkan kadar pulangan dividen para pencarum.

Perdana Menteri berkata, KWSP juga sentiasa mencari peluang pelaburan bagi mendapatkan pulangan untuk membayar dividen.

“Jadi, adalah wajar untuk kita teruskan pelaburan dalam sumber yang boleh mendapatkan pulangan. Namun, pembangkang mempertikai tujuan KWSP melabur di Amerika Syarikat,” kata Datuk Seri Najib Razak melalui blog beliau.

Jelasnya, amalan dasar luar Malaysia yang terbuka telah memberi peluang pelaburan dan perdagangan untuk memangkin ekonomi negara.

Katanya, Malaysia selama ini banyak mengaut keuntungan daripada pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit.

“Malaysia mendapat banyak manfaat apabila berjaya berunding pelaburan lebih RM100 bilion dengan China.

“Untuk tahun ini sahaja, Malaysia telah berunding dengan beberapa ketua negara termasuk Amerika Syarikat dan negara China, membincangkan isu-isu tertentu,” katanya.

Mengulas mengenai pembelian pesawat Boeing pula, Najib berkata, Malaysia Airlines memang sudah ada rancangan untuk membeli kapal terbang baru sebelum pertemuan di White House.

Najib berkata, pembangkang sejak dari awal lagi tidak senang melihat kejayaan Malaysia menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain.

Lantaran itu, segala tohmahan palsu mereka selama ini tidak perlu diendahkan. – MalaysiaGazette